top of page
  • Writer's pictureIzzaty Syazwani

Tiket Penerbangan Mahal, Pelajar Perantau Tak Balik Raya?

Penulis: Nurul Izzaty Syazwani Bt Hazizi

Penyunting: Mineshwara Ramaispran

Sumber: Google


BANGI, 20 April – Peralihan fasa endemik tahun ini bagai mengembalikan kehidupan normal rakyat Malaysia terutama bagi perantau yang sudah lama tidak pulang ke kampung namun kenaikan harga tiket penerbangan Sabah dan Sarawak yang melonjak tinggi menjadikan segelintir pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak balik raya.


Walaupun Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menurunkan harga tiket penerbangan sebanyak 30 peratus namun ia tetap menjadi beban kepada pelajar yang telah dua tahun tidak pulang ke kampung menyambut aidilfitriakibat sekatan COVID-19 tahun lepas.


Anis Asnira Faizal, 22, merupakan pelajar dari Sarawak yang mengikuti program Ijazah Linguistik Tahun 2, UKM mengatakan beliau tidak dapat pulang beraya kerana terlambat membeli tiket kerana perlu menunggu keputusan daripada pensyarah beliau dan bimbang jika Malaysia akan mengalami Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) balik seperti tahun lepas.


“Saya terpaksa beraya disini lagi sebab saya sudah terlewat membeli tiket kerana saya perlu tunggu keputusan dari pensyarah sama ada cuti raya dipanjangkan atau tidak, jadi harga tiket semakin mahal,


"Saya juga agak ragu-ragu untuk membeli tiket terlalu awal kerana bimbang Malaysia akan mengalami Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi seperti tahun lepas,” katanya.


Bagi Jumarnie Yunus, 22, merupakan pelajar Sabah di tahun 2, Fakulti Sains Teknologi yang menetap di Kolej Rahim Kajai, UKM pula, pembelian tiket untuk pulang ke kampung ketika ini adalah tidak berbaloi.


Hal ini baginya cuti yang diberikan oleh pihak Universiti adalah singkat dan tidak memadai untuk pulang ke kampung dalam tempoh seminggu.


“Saya bukan dari keluarga yang berkemampuan dan jika dikira kos penerbangan pergi balik sahaja mencecah RM1000 dan bagi saya ia tidak berbaloi untuk saya pulang,


“Jadi saya berkorban untuk tidak balik raya tahun ini. Malah keluarga saya terpaksa akur memandangkan saya merupakan pelajar perantauan,” katanya.


Berkongsi perkara yang sama, Andy, 22, merupakan pelajar Sarawak tahun 2 di Kolej Rahim Kajai juga memilih untuk tidak pulang beraya di kampung. Baginya dengan cuti yang ada merupakan satu peluang untuk beliau menyiapkan tugasan dan kerja rumah yang diberikan.


“Saya tengok harga tiket masih mahal walaupun dah diturunkan harga jadi saya mengambil keputusan tidak balik raya untuk berjimat. Selain itu, saya dapat menggunakan cuti yang ada sebaik mungkin untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah,” katanya.


Walau bagaimanapun, presiden Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKM), Muhammad Adli Jamiri berkata, KMUKM akan mencari inisiatif untuk mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi meraikan pelajar yang tidak pulang ke kampung.


“KMUKM ada berbincang dengan pelajar yang tidak balik raya tentang sambutan Aidilfitri, cuma perbincangan itu baru diperingkat dasar namun saya akan bincang perkara ini dengan pihak HEP berkaitan aktiviti pelajar yang tidak pulang,” katanya.


Oleh itu, pelajar dapat merasa kenikmatan Aidilfitri bersama rakan-rakan walaupun berjauhan daripada keluarga.

186 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page