Nadi Bangi
Tips Hubungan Jarak Jauh Semasa “Lockdown”
Oleh: Rahimi Rahim
Penyunting: Azmi Nordin

Sumber: Google
Kes perceraian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) iaitu Januari hingga Oktober tahun lalu menunjukkan statistik mencecah ratusan ribu dengan jumlah 90766 kes dilaporkan menurut program Selamat Pagi Malaysia. Hubungan yang erat antara pasangan mahupun ahli keluarga ketika ini amat penting bagi terhindar daripada mengalami kemurungan dan kesunyian sewaktu arahan ‘Lockdown’ dikeluarkan kerajaan.Setiap hubungan yang terjalin pasti mengalami pelbagai halangan untuk meraih kebahagiaan.
Hubungan bukan sahaja dalam konteks percintaan malah institusi kekeluargaan dan masyarakat sekeliling juga turut terganggu sehingga berlakunya perbalahan yang mendorong ke arah perceraian. Sebagai contohnya, mereka yang kematian ahli keluarga tidak dapat pulang ke kampung manakala suami isteri yang berjauhan mengalami masalah komunikasi yang kurang baik. Hal ini menyebabkan berlaku permasalahan dalam institusi kekeluargaan itu sendiri. Tidak lupa juga, pasangan muda yang masih hangat bercinta ditinggalkan atau dicurangi oleh pasangan mereka atas faktor berjauhan. Oleh yang demikian, terdapat beberapa tips yang disyorkan bagi mengeratkan hubungan antara keluarga dan pasangan anda.
Sentiasa Berfikiran Positif
Berfikir secara positif adalah cara pemikiran yang menjuruskan kepada keupayaan melihat pada aspek kebaikan dan perkara yang berlaku secara membina. Menurut laman sesawang Myhealth.gov, perkara ini amat penting dalam sesebuah hubungan kerana ia mampu membuatkan seseorang itu lebih tenang dan tidak berfikir perkara-perkara yang mampu meletakkan diri mereka dalam keadaan resah serta terganggu. Kegagalan mengawal perkara ini dapat membuatkan individu tersebut membayangkan perkara-perkara yang tidak berlaku sekali gus wujud perasaan syak wasangka terhadap keluarga atau pasangan mereka sendiri.
Antara cara untuk berfikiran positif adalah dengan yakinkan diri dengan kata-kata semangat. Perkara ini sedikit sebanyak dapat menyenangkan lagi hati anda dan menghindari diri daripada terus berprasangka yang akan menyebabkan hidup lebih sengsara.
Melakukan Kejutan Hari Istimewa
Pada tahap ini sokongan atau perasaan ingin disayangi amat kritikal ditambahkan pula hari istimewa mereka telah kunjung tiba, sebagai contoh hari lahir dan hari ulang tahun perkahwinan. Jadi untuk menyelesaikan perkara ini semakin mudah dengan adanya perniagaan-perniagaan atas talian yang menawarkan khidmat penghantaran hadiah buat yang tersayang.
Sebagai contoh seperti yang dilakukan oleh perniagaan Surprise Delivery Bouquet and Decoration Melaka dimana mereka menyediakan khidmat kejutan untuk individu istimewa dengan membuat tempahan secara atas talian. Hal ini bukan sahaja boleh mengeratkan hubungan malah dapat menambahkan lagi kasih dan saying semasa pasangan atau keluarga anda. Sekiranya tidak anda juga boleh memberikan hadiah dengan memesan barangan secara atas talian dan menghantar secara terus ke rumah insan tersayang dengan lambakan laman beli belah atas talian kini perkara itu tidak mustahil.
Ingatan Ringkas Melalui Pesanan Suara Dan Video Pendek
Buat ibu bapa yang nun jauh di kampung ini merupakan satu kebahagiaan yang tidak terhingga apabila dapat mendengar dan melihat anak mereka sendiri. Tidak lupa juga buat para pasangan yang merindui insan tersayang,tips ini amat berkesan sekiranya anda ingin menatap dan melepaskan rindu terhadap orang tersayang. Waktu dahulu perkara ini mungkin mustahil untuk dilakukan akan tetapi kini dengan kecanggihan teknologi dan lambakan media atas talian seperti aplikasi Whatsapp dan Google Meet, ia bukan lagi penghalang untuk berkumpul bersama-sama ahli keluarga dan berborak seperti berada di kampung walaupun di atas talian sahaja.
Kenali Individu Yang Tinggal Di Kawasan Kejiranan Ibu Bapa/Pasangan
Cara ini amat penting terutama bagi mereka yang bimbang dengan kesihatan atau keselamatan keluarga mahupun pasangan masing-masing. Hal ini kerana, musim pandemik ini kesihatan amatlah penting dan sekiranya berlaku apa apa kepada ahli keluarga atau pasangan anda sekurang-kurangnya anda mempunyai kenalan terdekat untuk membantu mereka. Hal ini amat perlu diberi perhatian terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar dan sibuk dengan pekerjaan masing-masing.
Selain daripada kenal dengan individu di kawasan kejiranan mereka, anda juga boleh meminta tolong mereka untuk menjenguk keadaan mereka secara berkala agar mereka di sana berasa lebih selamat dan tidak merasa keseorangan. Pesanan untuk yang masih bercinta dan belum berkahwin cuba untuk mendapatkan nombor telefon ibu bapa mereka supaya apa-apa terjadi boleh diberitahu secara terus kepada ahli keluarga.
Tuntasnya setiap hubungan tidak seharusnya berakhir dengan perceraian ataupun perbalahan sesama keluarga. Sekiranya masalah muncul sebaiknya duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang boleh dilakukan bagi mengeratkan lagi sesebuah hubungan itu.