top of page
  • Writer's pictureNur Amilya Husna Kamarul Zaman

Tolak Tawaran Doktor Pelatih di Singapura Kerana Mahu Berkhidmat di UKM

Updated: Dec 7, 2022

Penulis: Nur Amilya Husna Kamarul Zaman

Penyunting: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman

Sumber Gambar: Foto Pusat Komunikasi Korporat


BANGI, 26 Nov - Graduan Fakulti Perubatan, Lee Jun Xin, 25, menolak tawaran bekerja sebagai doktor pelatih di Singapura kerana mahu berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia suatu hari nanti.

Jun yang kini menjadi pegawai perubatan siswazah di Hospital Sultanah Fatimah di Muar, Johor menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang onkologi di UKM.


“Sebelum ini saya diberi peluang untuk menjadi doktor pelatih di Singapura, tetapi setelah berfikir semula, lebih baik jika saya berkhidmat di UKM kerana di sini titik permulaan saya belajar dalam bidang perubatan selama lima tahun,” katanya.

Jun telah menamatkan Ijazah Doktor Perubatan (Kepujian) dengan jayanya serta berjaya dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Emas) pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia kali ke-50.

Anak kelahiran negeri Sabah ini telah mendapat pengiktirafan tersebut melalui pencapaiannya dengan merangkul pelbagai anugerah sepanjang melanjutkan pelajaran di UKM, antaranya ialah Anugerah Kecemerlangan Akademik dengan mendapat PNG 4.00 pada Tahun 4 & 5 pengajian, Anugerah Global Excellence Award 2021 dan Malaysian Student’s Global Alliance (MSGA).

“Saya bercita-cita mahu menjadi seorang doktor sejak dari bangku sekolah lagi kerana saya mempunyai abang autisme, oleh itu saya berharap dapat membantu serta meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai autisme,” tambahnya.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Naib Yang Di-pertua bagi Persatuan Mahasiswa di Fakulti Perubatan UKM, menjadi duta bagi GEMx (Global Education Exchange in Medicine and Health Professions) serta menjadi Pegawai Penyelidik (Dr. Doris Lau) di Jabatan Pediatrik, Hospital Pakar Kanak-Kanak.

Sementara itu, beliau bukan sahaja berjaya dalam akademik namun turut aktif dalam bidang kokurikulum dan pernah menjadi wakil dalam sukan petanque dalam Sesi Undian Kejohanan Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (SUKEM) pada tahun 2017 dan 2018.

160 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page