top of page
  • Writer's pictureNurul Izzah Aisa

Tradisi Unik ‘Mengoca’ Tarik Pelancong Luar

Updated: Jan 8

Penulis: Nurul Izzah Aisa

Penyunting: Wong Yee Tian


Sumber Foto: Nuranisa Mardiana Mohd Nublan


JEMPOL, 3 Jan - Tradisi unik ‘mengoca’ yang dianjurkan oleh penduduk Kampung Lonek, Jempol, Negeri Sembilan telah berjaya menarik pelancong tempatan dan antarabangsa.


Aktiviti mengoca merupakan satu aktiviti yang bertemakan tradisi Negeri Sembilan di bawah Program Pelancongan Kampung Lonek iaitu menangkap ikan keli secara beramai-ramai di kawasan sungai, tali air atau kolam dengan menggunakan tangan selain peralatan seperti jala, tangguk dan penapis plastik.


Aktiviti ini selalunya dijalankan seperti pertandingan di mana pemenangnya akan dikira

berdasarkan jumlah tangkapan ikan.


Program pelancongan yang diadakan di Kampung Lonek merupakan satu program yang dianjurkan oleh penduduk kampung sendiri bagi menerima kunjungan daripada mana-mana pelancong tempatan dan antarabangsa bagi mengenali budaya dan tradisi di Negeri Sembilan.


Menurut Penolong Urusetia Program Pelancongan Kampung Lonek, Nuranisa Mardiana

Mohd Nublan, 23 berkata mengoca adalah salah satu aktiviti di bawah Pelancongan Kampung Lonek yang telah disertai oleh pelancong-pelancong tempatan dan antarabangsa seperti dari universiti awam, Politeknik Muadzam Shah dan juga pelajar-pelajar dari universiti antarabangsa.


“Salah satu aktiviti dalam program ini adalah mengoca iaitu aktiviti menangkap ikan keli dalam sawah.


“Program pelancongan yang kami anjurkan ini telah disertai oleh pelancong-pelancong tempatan dan antarabangsa seperti pelajar Universiti Teknologi Mara (UITM), Politeknik Muadzam Shah dan termasuk juga pelajar-pelajar antarabangsa seperti dari Korea, Thailand dan China,” katanya.


Selain daripada aktiviti lasak seperti mengoca, aktiviti boling secara tradisional turut dibuat iaitu dengan menggunakan buah kelapa dan juga botol mineral sebagai pengganti kepada bola dan pin.


Bukan itu sahaja, malam kebudayaan yang bertemakan tarian tradisi Negeri Sembilan turut diadakan bagi meraikan kedatangan pelancong untuk mengenali negeri ini dengan lebih mendalam seperti tarian tradisional dan juga nyanyian lagu menggunakan alatan tradisional.


“Malam kebudayaan merupakan malam yang paling bermakna kerana kami sebagai penganjur membuat persembahan tarian tradisional Negeri Sembilan iaitu Tarian Endang dan dalam masa yang sama kami juga mengajar pelancong cara-cara melakukan tarian tersebut.


“Mereka juga diajar untuk menyanyi lagu dengan menggunakan alatan-alatan tradisional sahaja tanpa menggunakan set karaoke,” tambahnya lagi.


Program pelancongan yang diadakan di kampung ini juga merupakan satu program yang popular di Negeri Sembilan sehingga pernah menarik perhatian pihak Tourism Malaysia untuk menjalankan sesi temubual bersama penganjur program bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang program pelancongan yang dilaksanakan.


Bukan itu sahaja, pihak Tourism Malaysia juga ada menjalankan sesi penggambaran di

kampung tersebut tentang tradisi unik yang ada.


Secara keseluruhannya, program pelancongan yang diadakan di Kampung Lonek ini telah mengajar pelancong-pelancong yang datang untuk merasai sendiri kenikmatan aktiviti di kampung dan sekaligus menambahkan ilmu pengetahuan tentang budaya dan tradisi di Negeri Sembilan.

78 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page