top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

“Train Sarong” Jadi Inspirasi Fester 2019

Oleh: Nur Nadzra Natasha

Editor: Deliyana Darwes


Sumber: Nadzra Natasha

BANGI, 7 Dis – Festival Teater (FESTER) 2019 anjuran Kelab Teater Rimba Artisukma (KTR) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UKM yang bertempat di Panggung Seni, UKM akhirnya melabuhkan tirai selepas berakhirnya Malam Anugerah Fester 2019.


Berbeza dengan tahun lalu, tema yang ditonjolkan pada tahun ini telah diinspirasikan daripada program “Train Sarong” di mana konsep klasik kontemporari diketengahkan dengan tujuan agar warisan tradisional tidak dilupakan memandangkan FESTER yang lalu lebih ke arah konsep moden.


FESTER yang merupakan acara tahunan telah dijalankan selama empat tahun berturut-turut. Sepanjang penganjurannya, festival ini telah berjaya mengumpulkan penggiat serta peminat seni teater dari dalam dan luar UKM serta menjadi pentas utama untuk mempertandingkan sebanyak 12 karya seni oleh kolej-kolej kediaman di UKM.


Memetik ucapan ketua juri pada malam tersebut, Ismail Kassan yang merupakan seorang penulis serta pengarah teater, “Teater merupakan medium untuk anda pelajari kerana ianya menggabungkan semua kemahiran seperti bidang nyanyian, lakonan, teknikal, pereka set, pereka kostum dan kerja-kerja belakang tabir.


“Namun perkara yang paling utama ialah anda semua terutamanya ahli-ahli Kelab Teater Rimba yang menguruskan festival ini dapat belajar untuk mendapatkan tajaan dari luar dan mempelajari cara untuk mendapatkan networking sehingga mampu berdikari menjadikan pihak UKM tidak perlu mengeluarkan dana yang banyak untuk festival ini.”


Selain itu, beliau turut berkata, kesemua peserta yang menyertai teater memiliki antah dari beras di mana persembahan yang ditunjukkan sangat bermutu dan kesilapan yang perlu dicari sangat sedikit.


Turut mengulas ketika ditemubual, Ketua Pengarah Festival Teater 2019, Maizatul Syafiqah yang merupakan pelajar Tahun Dua jurusan Psikologi, “Dalam proses kami menguruskan festival ini, banyak perkara baru dapat dipelajari seperti mencari dana sehingga mendapat sokongan dari pihak-pihak tertentu yang berminat untuk menaja Kelab Teater Rimba sekiranya ingin membuat persembahan di luar dan perkara tersebut merupakan suatu penghormatan buat kami.


“Bukan itu sahaja, pihak KTR juga mempunyai perancangan untuk mengadakan festival teater ini secara terbuka kepada seluruh IPTA/IPTS di Malaysia bagi tahun 2020 memandangkan ianya mendapat sambutan yang luar biasa pada tahun ini.”


Festival Teater UKM kali ini telah mempertaruhkan 21 kategori yang berbeza dan johan keseluruhan dimenangi oleh Kolej Burhanuddin Helmi dengan teaternya yang bertajuk ‘Alang Retak Seribu’.

51 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page