Oleh: Shirly Low Shi Li
Penyunting: As Nurul ‘Ainaa Awanudin
Rakyat Malaysia menyambut perayaan besar di perantauan adalah perkara biasa yang kita dengar. Namun demikian, pada musim perayaan Tahun Baru Cina ini, menyambut perayaan Tahun Lembu di negara perantauan agak sedikit berbeza di mana beberapa pekerja Malaysia yang menetap di Singapura mengambil keputusan untuk tidak pulang ke tanah air susulan pandemik coronavirus 2019 (COVID-19). Walaupun Suruhanjaya Malaysia di Singapura telah mengumumkan tentang permohonan skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) kepada rakyat Malaysia yang memiliki status Pemastautin Tetap (PR) di Singapura untuk pergi balik Malaysia secara ulang alik, mereka tetap tidak mahu pulang ke tanah air disebabkan masalah kewangan serta kejaminan keselamatan dan kesihatan keluarga mereka di sana. Malah harga kos ujian swab COVID-19 dan tempat kuarantin di Singapura yang perlu dibayar oleh pekerja Malaysia sekiranya mereka mengambil keputusan untuk ulang alik ke Singapura untuk menyambut Tahun Baru Cina agak tinggi serta tidak mampu untuk rakyat Malaysia di Singapura untuk membayar jumlah kos yang setinggi itu. Oleh sebab itu, mereka telah mengambil keputusan untuk tidak pulang ke Malaysia untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini.
Tahun Baru Cina merupakan satu perayaan yang sedang dinanti-nantikan oleh masyarakat Cina di seluruh dunia untuk menyambut perayaan besar ini bersama keluarga dan juga sahabat handai. Perayaan ini disambut secara besar-besaran untuk meraikan kedatangan Tahun Baru berdasarkan kalendar lunar Cina. Pada tahun ini, sambutan Tahun Baru Cina akan disambut dengan suasana yang agak berbeza di mana satu dunia telah dihebohkan dengan serangan virus yang amat dahsyat. Penyakit coronavirus 2019 (COVID-19) adalah sebuah penyakit berjangkit yang amat berbahaya yang disebabkan oleh infeksi virus yang dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019. Penyakit tersebut telah menyebabkan berlakunya peningkatan kes kematian di seluruh dunia yang menyebabkan semua orang mengambil langkah berhati-hati untuk membendung penyakit berbahaya itu. Rakyat Malaysia yang bekerja di negara perantauan seperti Singapura berasa takut untuk pulang ke tanah air akibat pandemik COVID-19. Oleh sebab itu, mereka telah mengambil keputusan untuk tinggal di sana untuk menjamin keselamatan dan kesihatan keluarga mereka di Malaysia serta menyambut perayaan Tahun Baru Cina di Singapura yang jatuh pada bulan Februari ini.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura telah mengumumkan bahawa rakyat Malaysia yang bekerja serta memiliki status Pemastautin Tetap (PR) di Singapura layak memohon skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) di mana skim ini membolehkan mereka untuk memohon cuti jangka pendek selepas bekerja di Singapura sekurang-kurangnya 90 hari secara berturut-turut. Skim ini juga dapat membantu pekerja Malaysia di Singapura untuk pulang ke tanah air untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama ahli keluarga mereka yang tersayang. Permohonan skim PCA ini bermula pada 11 Januari 2021. Dengan adanya skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), mereka dikehendaki untuk melakukan ujian swab COVID-19 serta menjalankan kuarantin selama 3 hari. Sekiranya laporan ujian swab COVID-19 telah disahkan negatif, mereka dibenarkan untuk pulang ke rumah untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama ahli keluarga yang tersayang. Pekerja Malaysia yang memeliki kewarganegaraan Singapura tidak perlu memohon skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) ini. Sebaliknya, mereka perlu menjalankan kuarantin selama 14 hari serta melakukan ujian swab COVID-19 seperti biasa sekiranya mereka pulang ke Malaysia untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.
Walaupun Suruhanjaya Malaysia di Singapura telah memberi skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) untuk meringankan beban rakyat Malaysia di Singapura untuk pulang ke tanah air untuk menyambut perayaan besar dan meriah ini, mereka tetap mengekalkan keputusan mereka untuk menyambut Tahun Baru Cina di Singapura. Persoalannya, kenapa masih ada rakyat Malaysia yang kekal dengan keputusan mereka untuk menyambut perayaan Tahun Lembu ini di Singapura?
Sekiranya mereka ingin pulang balik ke Singapura untuk bekerja, mereka harus menjalankan kuarantin di Singapura selama 14 hari. Walau bagaimanapun, pembayaran ujian swab COVID-19 dan pusat kuarantin di Singapura adalah di bawah tanggungan sendiri. Jumlah anggaran bayaran untuk ujian swab coronavirus 2019 (COVID-19) dan pusat kuarantin adalah sekurang-kurangnya 3000 Dolar Singapura (RM9144.64). Disebabkan prosedur pemulangan semula ke Singapura yang agak merumitkan serta harga pembayaran ujian swab COVID-19 dan pusat kuarantin yang agak tinggi dan mencekik darah, mereka lebih rela menetap di Singapura dan menyambut Tahun Baru Cina bersama rakan sekerja mereka.
Victoria Tan, 33, mengambil keputusan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama kawan-kawannya di Singapura. Beliau mengatakan bahawa bayaran untuk pusat kuarantin dan ujian swab COVID-19 di Singapura sangatlah mahal dan lebih rela menggunakan wang tersebut untuk membeli barangan keperluan kepada ahli keluarganya di Malaysia. Walaupun beliau berada di negara perantauan, mereka masih berhubung antara satu sama lain dengan menggunakan aplikasi media sosial yang dimilikinya itu.
“Saya mengambil keputusan untuk tidak pulang ke Malaysia untuk menyambut Tahun Cina. Saya masih boleh menyambut di sini (Singapura) bersama kawan-kawan saya. Rasanya tidak berbaloi kalau saya habiskan duit saya untuk pusat kuarantin. Lebih baik saya gunakan duit saya untuk membeli barang keperluan kepada keluarga saya di sana. Saya juga masih menghubungi mereka dengan menggunakan aplikasi media sosial”, ujarnya.
Chong Yee Kam, 35, juga mengatakan bahawa beliau tidak sanggup untuk menjalankan kuarantin selama 28 hari di Malaysia dan Singapura semata-mata untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina di negara asalnya itu. Menurut beliau, peningkatan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia berasa takut dan bimbang dengan jumlah kes tersebut. Keputusannya untuk tidak pulang ke Malaysia adalah salah satu cara untuk melindungi kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga dalam membendung penyakit COVID-19.
“Saya telah mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia sebab saya risau dengan peningkatan jumlah kes COVID-19 di Malaysia ini. Rasanya, dengan cara ini, saya boleh melindungi diri saya dan keluarga saya daripada penyakit COVID-19 ini”
Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Kemahiran Berfikir dan Isu-isu Kekeluargaan dan Psikologi Cinta dan Psikologi Islam, Dr. Syaidatun Nazirah Abu Zahrin berpendapat bahawa beliau akan membatalkan niatnya untuk pulang ke Malaysia untuk menyambut Tahun Baru Cina dengan keluarganya jika beliau berada di posisi yang sama dengan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. Hal ini kerana nyawa keluarga adalah kepentingan yang paling utama untuk melindungi mereka daripada penyakit virus yang berbahaya itu. Beliau mengatakan bahawa beliau tidak sanggup menampung harga kos ujian swab COVID-19 dan pusat kuarantin yang tinggi di Singapura sekiranya beliau berulang alik ke dua negara semata-mata untuk meraikan perayaan terbesar bersama keluarga yang tersayang. Menurut pendapat Dr Syaidatun lagi, mereka yang tidak pulang ke kampung tidak bermaksud mereka tidak sayangkan keluarga. Disebabkan kasih sayang yang mendalam terhadap keluarga, mereka sanggup menetap di Singapura untuk mengurangkan risiko jangkitan penyakit COVID-19 terhadap ahli keluarga yang disayanginya itu. Kerinduan mereka dapat diubati dengan menghubungi mereka di kampung dengan menggunakan alat komunikasi yang canggih itu seperti telefon smartphone dan laptop.
Dengan keputusan bijak yang diambil oleh pekerja Malaysia di Singapura ini, mereka dapat melindungi ahli keluarga daripada jangkitan COVID-19 ini. Bukan itu sahaja, mereka telah berusaha untuk membantu negara dalam mengurangkan bilangan kes aktif COVID-19 dengan menetap terus di negara perantauan. Mereka berpendapat bahawa keadaan wabak penyakit COVID-19 di Malaysia sangatlah teruk malah arahan kuarantin yang diberikan oleh kerajaan Malaysia sering berubah-ubah. Oleh sebab itu, mereka lebih rela untuk terus menetap di Singapura dan menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama keluarga baru mereka di sana.
Comments