top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Trump Berisiko Disabit Kesalahan

Updated: Jan 18, 2021

Oleh: Arif Zahran

Penyunting: Saeid Juwanda

Bangunan Capitol dikelilingi penunjuk perasaan tolak keputusan pilihan raya (Sumber: Al-Jazeera)


BANGI, 11 Jan – Sikap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang kerap mengeluarkan kenyataan yang berunsur hasutan di media sosial sehingga menyebabkan rusuhan di Bangunan Kapitol pada 6 Januari lepas mengakibatkan dirinya berisiko untuk disabit kesalahan.


Menurut Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia dan penganalisis politik, Prof. Madya Dr Kartini Aboo Talib, “Donald Trump patut dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan atas rusuhan ini kerana beliau secara sistematik dan konsisten menolak kekalahan dirinya dan menipu penyokong tegarnya bahawa beliau telah menang dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat.


“Trump boleh didakwa atas tindakan mengancam keselamatan awam dan negara. Apa jua tindakan demi memelihara keselamatan awam boleh digunakan untuk mensabitkan Trump atas perbuatannya yang tidak bermoral ini,” tambah beliau apabila ditemu bual Nadi Bangi.


Beliau juga berpendapat bahawa tindakan platform media sosial menggantung akaun Trump kerana menyebarkan informasi dengan niat menimbulkan kekacauan atau mengancam keselamatan awam mempunyai legitimasi, kerana status kebebasan tidak lagi bersifat mutlak.


Susulan rusuhan di Bangun Kapitol, Twitter telah menggantung akaun milik Trump selama 12 jam di mana penggantungan tersebut kemudian diubah secara kekal bagi mengelakkan risiko keganasan meningkat.


“Kami telah menjelaskan pada hari Rabu bahawa tindakan selanjutnya akan diambil sekiranya (Trump) melanggar peraturan Twitter,” jelas Twitter dalam blog rasmi mereka.


Selain Twitter, Facebook turut menggantung akaun Facebook dan Instagram Trump selama 24 jam yang juga kemudiannya diubah kepada penggantungan akaun secara kekal.



Akaun Twitter peribadi Donald Trump digantung secara kekal


Jordan Walker, seorang penduduk New York yang berumur 20 tahun, mengatakan bahawa mereka yang menyerbu Bangunan Kapitol tidak mempunyai sebarang justifikasi untuk cuba menolak keputusan pilihan raya yang adil dan sah.


“Mereka cuba melibatkan cabang perundangan pemerintahan Amerika Syarikat dalam keganasaan secara besar-besaran, yang merupakan pusat sistem pemeriksaan dan keseimbangan kami.


“Saya merasakan bahawa tindakan platform media sosial menggantung akaun Trump merupakan tindakan yang tepat dan boleh mengubah keadaan semasa. Walau bagaimanapun, tindakan ini terlewat, kerana Trump dan penyokongnya telah menggunakan kempen disinformasi dan fakta tidak benar sejak sebelum Trump menjadi Presiden.


“Sekiranya Trump dan penyokongnya tidak boleh lagi mempunyai platform media sosial tersebut, ia merupakan satu perkara yang bagus, kerana mereka tidak lagi boleh mengatur gerakan mereka dengan mudah. Namun, terdapat kebimbangan sekiranya mereka beralih ke platform lain dan mencipta ruang gema pendapat baharu yang lebih berbahaya,” tambahnya lagi.


Seorang lagi responden yang hanya ingin dikenali sebagai Adam, berpendapat bahawa Trump perlu bertanggungjawab ke atas apa yang telah berlaku. “Trump perlu didakwa, namun agak terlambat kerana penggalnya sebagai presiden hanya berbaki sembilan hari sahaja. Dia juga pernah didakwa sebelum ini, namun tidak didapati bersalah dalam perbicaraan di senat.”


Adam juga menyatakan bahawa dia merasakan bahawa Trump tidak akan didapati bersalah sekiranya didakwa kerana ramai senator parti Republican tidak ingin menentang parti mereka sendiri untuk menghukum Trump.


“Sebagai Presiden, Trump memiliki platform yang besar dan mempunyai tanggungjawab untuk menggunakannya dengan bijak. Malangnya, dia telah menunjukkan pertimbangan yang amat buruk. Dia secara langsung menyeru penyokongnya untuk menunjuk perasaan di Bangunan Kapitol dan mengganggu proses pengesahan keputusan pilihan raya yang dijalankan oleh Kongres.”


Pemenang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, Joseph R. Biden Jr akan dilantik sebagai Presiden pada 20 Januari.


Terkini: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat telah mengundi untuk mendakwa Trump pada hari Rabu lalu atas tuduhan “menghasut pemberontakan”.


35 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page