Oleh: Dina Syafiqah Mohd Zan
Penyunting: Fath Abu Bakar
Sumber: Google
Baru-baru ini rakyat Malaysia digemparkan dengan kes pendakwah selebriti yang direman atas dakwaan mencabul dan merogol seorang wanita pada tahun yang lalu. Ekoran kes ini, pendakwah ini didakwa kerana pihak berkuasa telah menerima lebih 6 laporan bertulis berkaitan kes ini. Pernahkah anda terfikir sekiranya magsa rogol ini merupakan mereka yang rapat dengan anda, ahli keluarga, atau sahabat karib anda. Namun, meskipun mereka hanya mangsa, mereka masih dipersalahkan oleh masyarakat dan masih menunding jari kepada mereka. Terdapat segelintir masyarakat yang mempunyai mentaliti yang cetek dengan menganggap faktor utama terjadinya kes rogol ialah berpunca dari pemakaian wanita yang seksi dan menjolok mata.
Dalam kes ini masyarakat tidak seharusnya menyalahkan mangsa malah pelaku sepatutnya yang wajar dipersalahkan. Kes rogol jelas menunjukkan zaman ini telah dibelenggu masalah tanpa peringkat umur kerana kes ini berlaku melibatkan bayi, kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa. Jelaslah, demi membebaskan masyarakat daripada dibelenggu kejahilan dan kegelapan, penulis akan pertingkatkan dan perteguhkan kefahaman tentang gejala rogol ini sama ada kes ini berpunca dari mangsa yang memakai pakaian seksi serta mendorong pelaku melakukan perbuatan terkutuk ini. Seterusnya, akan dibongkarkan juga antara faktor lain yang menjurus pelaku untuk melakukan gejala rogol ini serta bagaimana mereka menentukan target mangsa mereka.
Dalam hal ini, kita tidak seharusnya hanya akur dengan arus songsang ini seperti apa yang dapat dilihat masa kini di kaca tv, akhbar-akhbar dan sosial media, isu-isu yang berkaitan kes rogol ini terus berlanjutan dan majoriti mangsa tergolong dari bayi, kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Kita pernah dikhabarkan dengan berita dimana bapa saudara merogol anak saudaranya, bayi asuhan dirogol oleh suami pengasuh, dan datuk merogol cucu. Oleh itu, apa yang dapat dikonklusikan dari akhbar-akhbar yang dipaparkan ini, keseluruhan kes ini juga ada melibatkan bayi dan kanak-kanak. Tidak dapat dinafikan bahawa pemakaian yang seksi mampu mendorong nafsu pelaku untuk melakukan perbuatan rogol, tetapi jika kes ini melibatkan kanak-kanak dan bayi, adakah mangsa yang harus dipersalahkan kerana tidak memakai pakaian yang menutup aurat seperti yang dituntut?
Semakin panas persoalannya yang bermain difikiran, semakin genting puncaknya untuk membongkar kepincangan. Persoalan demi persoalan ini akan sama-sama dirungkai dengan adanya bantuan dari seorang pakar yang sangat berpengalaman dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang tingkah laku berisiko tinggi, kerja sosial dengan individu serta keluarga dan pembangunan psikologi iaitu, Dr. Norulhuda Sarnon@Kusenin. Beliau merupakan seorang pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di UKM yang akan turut membantu untuk menjawab persoalan-persoalan yang membelenggu di minda kita semua.
Fenomena rogol ini sudah mencapai tahap yang mencemaskan, kes rogol ini melibatkan 2 pihak iaitu pelaku dan mangsa. Seperti yang kita semua tahu bahawa perbuatan melakukan seks bersama pasangan dibawah umur walaupun dalam keadaan sukarela masih dikira sebagai satu kes rogol. Seorang perogol tidak dapat dibaca gerak geri dan tingkah lakunya dan tiada berbeza dengan manusia normal kerana mereka sangat menjaga tingkah laku mereka supaya tidak dapat dihidu oleh mangsanya. Menurut Dr.Huda pakar yang telah ditemubual melalui bualan telefon pintar, beliau berpendapat bahawa kebanyakan pelaku ini cenderung untuk melakukan perbuatan rogol ini bukanlah atas faktor pemakaian yang seksi dan mendedahkan aurat tetapi tenaga libido pelaku yang tinggi menjadi punca untuk mereka melepaskan nafsu kepada apa sahaja objek yang ada atau mangsa yang lemah iaitu bayi, kanak-kanak dan wanita. Pergaulan perogol ini dapat dilihat dimana mereka lebih cenderung untuk bersendirian dimana dalam waktu yang sama mencari peluang untuk mendapatkan mangsa.
“Antara lainnya, pelaku ini tidak dapat berfikir secara kognitif iaitu pemikirannya berlainan dengan orang normal. Pengisian jiwa dan minda mereka dibelenggu dengan hal-hal seks yang hanya mengikut hawa nafsu semata-mata. Perbezaan pemikiran dengan manusia normal dapat dilihat dari cara manusia yang normal berfikir” kata beliau.
Mereka yang normal lebih berfikiran panjang dan sentiasa memikirkan kesan-kesan buruk yang akan berlaku jika perbuatan buruk dilakukan. Pada masa kini, dapat dilihat majoriti mangsa rogol ialah dalam kalangan bayi dan kanak-kanak kerana mereka merupakan individu yang lemah dan mudah didapatkan. Mereka juga tidak dapat berfikiran dengan baik seperti orang dewasa. Hal ini mengukuhkan lagi bahawa kes rogol yang berlaku bukanlah berpunca dari pemakaian yang seksi kerana sudah terang lagi bersuluh dimana majoritinya mangsa rogol tergolong dalam kalangan bayi dan kanak-kanak yang bukan berpakaian seksi.
Menurut Dr.Huda, perubahan berlaku dimana mangsanya berubah jika dulu target mereka ialah remaja tetapi sekarang mereka lebih mensasarkan golongan bayi dan kanak-kanak. Faktor yang boleh diambil kira dimana remaja sekarang yang lebih bertindak agresif untuk menjaga diri sendiri. Bertindak dengan lebih berhati-hati dan ada diantara remaja yang mempelajari seni mempertahankan diri seperti taekwando, silat dan sebagainya. Oleh itu, untuk mengelakkan pelaku menyasarkan kepada mangsa yang salah dan memakan dirinya sendiri, nescaya mereka menyasarkan golongan yang lebih lemah.
Seorang perogol yang menempa kejayaan untuk mendapatkan mangsa yang mereka inginkan, mereka mulai untuk menentukan target yang mereka mahukan. Disebabkan hal itu, perbuatan rogol ini boleh berlaku dalam jangka masa yang pendek dan panjang yang tidak melebihi 3 hari. Setiap pelaku mempunyai kritiria mangsa yang berbeza-beza kerana nafsu seksual mereka berbeza pada setiap sudut pandangan terhadap mangsa.
Dalam pengalaman Dr.Huda berhadapan dengan salah seorang mangsa, yang pernah dirogol oleh kenalan mangsa yang mengakibatkan mangsa mengalami trauma yang sangat lama dan merasakan dirinya terlalu jijik. Setelah dikaji dan didapati bahawa pemakaian yang sempurna dengan menutup aurat tidak dapat mengelakkan kes rogol ini berlaku. Hal ini jelas menunjukkan bahawa, perogol juga boleh teransang melalui suara yang lembut yang menggoda, sentuhan dan sebagainya. Perogol ini boleh tergolong daripada orang yang dikenali dan tidak dikenali.
Menurut beliau lagi, masalah kesihatan seperti seks abnormal iaitu seks yang melampaui kerana memahukan sesuatu diluar jangkaan atau lebih dari biasa menjadikan mereka mahukan suatu kelainan dengan itu mereka merogol seorang kanak-kanak atau bayi untuk mendapatkan satu kepuasan seks yang berbeza. Akhir sekali ialah faktor dendam dapat juga menyumbang kepada berlakunya kes rogol, ini kerana pelaku mahu mangsa dapat melihat pelaku sebagai seorang yang berkuasa atau dikenali sebagai ‘superior’ kerana mendapatkan apa yang pelaku mahukan. Malah, dalam kes rogol yang berpunca dari faktor ini masih dalam peratusan yang rendah dan bukanlah menjadi faktor yang utama.
Comments