top of page
  • Writer's pictureKogileswary

UKM Anjur Majlis Menghayati Nuzul Al-Quran

Penulis: Kogileswari A/P Vellisamy

Penyunting: Muhammad Danial Haziq Bin Roslee


sumber: Facebook UKM Official


BANGI, 21 April - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Majlis Menghayati Nuzul Al-Quran peringkat universiti di Masjid UKM petang semalam.


Prof. Emeritus Dato’ Dr Mohamad Abd Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti bersama Prof. Dato’ Ts Dr. Mohd Ekhwan, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia turut bersama dalam mengimarahkan majlis tersebut.


“Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Ia merupakan kitab yang perlu difahami dan diingati oleh masyarakat sejagat. Dengan adanya majlis ini, ia membuktikan bahawa kita masih mengingati perintah Allah SWT, dan tidak mengabaikan firmanNya.


“Majlis ini sekaligus membantu melahirkan generasi yang kuat dan utuh berpandukan Al-Quran seterusnya membantu kepada pembentukan jati diri manusia sejagat. Warga UKM seharusnya menjadikan pejuang Islam dalam sejarah sebagai contoh bagi mendidik dan meneruskan ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW menerusi kitab Al-Quran,” kata Prof. Emeritus Dato’ Dr Mohamad Abd Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dalam ucapan perasmian beliau semalam.


Majlis dimulakan seawal pagi semalam dengan aktiviti rewang bubur lambuk bersama pelajar dan kemudian diteruskan dengan kuliah Zohor oleh Imam Muda Nazrul. Pelbagai acara lain termasuk agihan sumbangan berbuka puasa, bacaan Yaasin serta penyerahan wang zakat kepada Zakat Selangor juga turut dilaksanakan semasa majlis berlangsung.


Sesi tadarus digital dengan kerjasama Islah Movement serta khatam Al-Quran perdana juga turut dijalankan di sebelah petang bagi memeriahkan lagi majlis.


Bukan itu sahaja, ia diisi dengan ceramah Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh Pencetus Ummah Hariz sejurus selesai solat tarawih berjemaah.


CUEPACS, Islah Movement dan pertubuhan UKM iaitu KESUKMA serta PERTADI menjadi antara penyumbang serta penganjur majlis ini.

31 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page