Oleh: Anis Natasya
Penyunting: Haziq Johan
Sumber: Instagram Moot Club UKM
BANGI, 22 April - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya membawa pulang sebanyak tiga buah anugerah yang merupakan jumlah tertinggi bagi sebuah pasukan dari Malaysia di pusingan global Philip C. Jessup International Law Moot Court Competition 2021 pada tahun ini.
Pasukan yang mewakili UKM dianggotai oleh Thenesh Anbalagan, Nievanee Ravindran, Munirah Halid, Haziq Asman dan Sivakami Veerappan telah memenangi anugerah Hardy C. Dillard Award for Best Combined Memorials selepas menduduki tangga ke-25 daripada 500 buah pasukan yang terdiri daripada lebih 100 negara. UKM merupakan satu-satunya pasukan dari Malaysia yang telah memenangi anugerah tersebut.
UKM juga memenangi anugerah Best Overall Respondent Side Award selepas menduduki tangga ke-14 bagi gabungan skor Respondent Oral dan Respondent Memorial. UKM berjaya mendahului banyak pasukan hebat yang lain seperti Cambridge, Singapore Management University dan Universiti Malaya.
Thenesh Anbalagan, pelajar Fakulti Undang-undang UKM juga telah memenangi anugerah Best Oralist Award selepas muncul sebagai individu ke-49 terbaik dalam kategori tersebut. Thenesh merupakan salah seorang daripada tiga warga Malaysia yang berjaya memasuki Top 100 Best Oralist Ranking pada Jessup moot tahun ini.
“Saya berasa amat gembira atas pencapaian individu dan pasukan saya. Kami mengambil masa yang lama untuk sampai ke tahap ini, maka saya berasa lega atas keputusan yang berjaya dicapai,” kata Thenesh Anbalagan.
Ini merupakan kali pertama UKM mengambil bahagian dalam pusingan global pertandingan yang dianggap sebagai olimpik bagi moot ini. Jessup ialah pertandingan moot terbesar di dunia yang dianjurkan oleh International Law Students Association (ILSA) dan pada tahun ini, pusingan global dijalankan secara atas talian.
Sepanjang enam minggu pusingan global dijalankan, 574 buah pasukan dari 90 negara bertandingan dalam 2036 perdebatan yang berlangsung selama lebih dari 3000 jam. Lebih daripada 1100 peguam, hakim, dan profesor perundangan bertugas secara sukarela sebagai hakim.
“Pertandingan Jessup 2021 menjadi titik perubahan dalam kajian dan praktik perundangan internasional, yang impaknya akan terasa lebih besar bagi generasi peguam baru,” kata pengerusi ILSA, Mark Luz.
“Cabaran yang dihadapi oleh para peserta pada tahun ini melebihi segala yang pernah dihadapi oleh peserta-peserta terdahulu sepanjang 62 tahun pertandingan ini dijalankan kerana mereka perlu membuat persediaan dan bertanding di atas talian ketika berlangsungnya pandemik Covid-19. ILSA berasa bangga kerana dapat menyaksikan acara hebat ini yang telah membawa lebih kurang 5000 peserta dari 100 buah negara ke pertemuan terbesar pelajar perundangan dan guaman internasional.”
Menurut Thenesh, walaupun pertandingan yang dijalankan secara maya tersebut amat mencabar, namun kebergantungan yang tinggi kepada faktor teknikal telah memberi sebuah pengalaman baru kepada mereka dalam menyertai acara berprestij sebegini. Pasukan mereka telah membuat pelaburan yang besar ke dalam persediaan teknikal agar dapat mereplikasi situasi moot yang sebenar walaupun dijalankan secara atas talian.
Thenesh dan rakan sepasukan juga mengharapkan generasi peserta UKM yang seterusnya dapat meneruskan momentum yang dimiliki mereka pada pertandingan Jessup moot yang seterusnya.
Commentaires