Nadi Bangi
UKM CATAT SEJARAH KENDALI PRK SENDIRI
Oleh : Muhammad Sahrul Fahiz Bin Mat Ariff
Penyunting: Kumutha Vallii Veloo

Buat julung kali, mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatat sejarah tersendiri apabila diberi kepercayaan mengendalikan sendiri proses pilihan raya kampus (PRK), dari bermula dengan proses penamaan calon hingga hari pengundian yang berlangsung baru-baru ini.
Pendekatan ini seiring dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mahu PRK pada tahun ini memberi peluang kepada pelajar untuk membawa semangat autonomi dengan kebebasan bersuara sepenuhnya, seperti berpolitik dan bepersatuan dalam memperjuangkan hal ehwal pelajar, kebajikan, akademik, politik mahupun kepelbagaian aktiviti di kampus.
“STUDENT EMPOWERMENT”
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim, menyifatkan kebebasan pelaksanaan PRK itu bersesuaian dengan keperluan pelajar untuk proses kematangan diri dalam mengurus, bekerjasama, membuat keputusan dan menangani krisis.
Tambah beliau lagi, bersesuaian dengan hasrat KPM iaitu “Student Empowerment” yang mana telah menggalakkan pelajar melalui proses menguruskan sendiri pilihan raya kampus, secara tidak langsung, mampu menjadikan pelajar lebih berfikiran matang dan profesional khususnya dalam pengendalian proses pilihan raya yang telus dan diterima ramai.
TELUS DAN MENYAKINKAN
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP), Hariz Rahim berkata beberapa pembaharuan telah diperkenalkan JPMPP, antaranya sebuah penstrukturan yang lebih profesional telah dirangka bagi memastikan sistem PRK yang digunakan lebih efisien.
“Kami juga turut mementingkan aspek pelaksanaan sebelum dan selepas PRK dijalankan. Hal ini dapat dilihat, apabila Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) turut bekerjasama dengan pihak kami”, ujarnya.
Mengulas lanjut, apabila diajukan soalan mengenai halangan dan cabaran, pelajar Fakulti Undang-Undang tahun 4 ini menjelaskan, ketika diawal penubuhan JPMPP, kurangnya perhatian diberikan oleh pelajar UKM sendiri akan kewujudan jawatankuasa ini.
Ia mungkin dipengaruhi oleh beberapa faktor yang menyebabkan JPMPP kurang dikenali.
“Inisiatif penubuhan JPMPP adalah seiring dengan hasrat universiti yang mahukan pemerkasaan dalam kalangan mahasiswa. Alhamdullilah, semuanya berjalan dengan lancar”, ujar Hariz.
Tambahnya lagi, kelainan ini menunjukkan bahawa pelajar boleh menguruskan sendiri PRK sekaligus menjadi platform kepada mahasiswa untuk bergerak sendiri tanpa perlu bercampur tangan dengan pihak pengurusan.
Autonomi yang diberikan kepada pelajar untuk menguruskan sepenuhnya pilihan raya kampus bermula tahun ini, bakal menjadikan proses pemilihan pemimpin pelajar lebih telus sekali gus memberi pendedahan awal kepada mereka megenai proses pilihan raya yang sebenar.
Pindaan AUKU Seksyen 15 (2)(C) yang dibuat tahun lalu juga dilihat memberi peluang kepada pelajar untuk berpolitik secara matang di kampus, sejajar dengan saranan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang menuntut pelajar diberikan kebebasan bersuara dan berpersatuan di universiti, amnya.
MEDIA SOSIAL
Tidak ketinggalan, Pengarah Pusat Pengurusan dan Pembangunan Mahasiswa, (SISWA UKM), Dr Mohd Suhaimi Mohamad, turut bersetuju untuk menyatakan yang proses penurunan autonomi kepada pelajar ini dilihat sebagai satu langkah yang terbaik dan disifatkan berjaya.
Menurut beliau lagi, trend peperangan bagi PRK dilihat lebih menarik apabila media sosial telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh calon-calon perwakilan pelajar.
“Sudah tentunya, pendekatan baharu ini memberi kebebasan kepada calon untuk berkempen meraih undi tetapi pada masa yang sama, pelajar tetap perlu bijak membuat pertimbangan supaya tidak melampaui garis panduan yang ditetapkan oleh JPMPP”, ujar beliau ketika diajukan soalan mengenai kempen di media sosial.
KEPUTUSAN
Pilihanraya kali ini telah mempertandingkan sebanyak 37 kerusi, dan majoriti telah dimenangi oleh Parti Kongres Siswa iaitu sebanyak 18 kerusi.diikuti rapat , 11 kerusi dimenangi oleh parti Inspirasi dan 7 kerusi bagi parti Wawasan. Tidak terkecuali, kemenangan juga memihak kepada parti bebas dengan kemenangan 1 kerusi.
Proses mengundi yang berlangsung selama 10 jam itu melibatkan seramai 15,007 pelajar yang layak mengundi sebelum proses pengundian ditutup pada jam 5 petang.
Akhir kata, tahniah dan selamat maju jaya kepada calon yang telah memenangi kerusi yang dipertandingkan di Pilihan Raya Kampus baru-baru ini.
Diharapkan juga amanah yang bakal digalas, dapat dipikul sebaiknya dan membantu menyuarakan suara mahasiswa supaya didengari dan menjadi penghubung antara pelajar dan pihak pengurusan.
Hari ini, mahasiswa mesti menang.
