• Nadi Bangi

UKM FC Berjaya Rangkul Piala IPT Divisyen 2

Oleh : Nazrin Zulkafli

Editor : Amni Amirah Izzati Bt Mohd Afandi


Sumber : Liga IPT (Facebook)

BANGI, 24 Nov - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya dinobatkan sebagai juara piala Institut Pengajian tinggi (IPT) Devisyen 2 pada 18 November lalu apabila berjaya menumpaskan pasukan lawan iaitu Universiti Pertahanan Awam Malaysia (UPNM) dengan keputusan 2-0 pada aksi perlawanan akhir di Stadium UKM.


Piala IPT Devisyen 2 yang telah disertai sebanyak 15 buah pasukan yang mana kesemua pasukan merupakan daripada IPT yang telah terpilih di dalam negara ini.


Penyerang UKM FC, Muhammad Najmi Amri Aziz (21) berkata “kemenangan yang pertama diperoleh oleh pasukan UKM ini atas bantuan semua pihak terutamanya jurulatih.”


“Saya bersyukur kerana ini merupakan kemenangan yang sangat bermakna kepada UKM kerana kita tidak menghantar penyertaan selama 6 tahun pada tahun sebelum ini. Ini juga akan menyebabkan pasukan kami serta merta berjaya melangkah ke liga yang seterusnya iaitu Piala IPT Divisyen 1.”


Beliau juga turut merasakan antara faktor kemenangan pada masa tersebut adalah disebabkan oleh pelbagai pihak terutamanya Ultras Varsity Boys yang mana memberikan sokongan kepada mereka tanpa henti untuk memberikan semangat juang kepada para pemain.


“Kemenangan ini menjadi milik mereka kerana semangat pemain yang mana bersungguh-sungguh dalam sesi latihan kerana tujuan utama mereka adalah untuk memenangi pertandingan tersebut” ujar Ketua pasukan UKM FC, Saiful Hasnol Mohd Raffi.


“Pemain UKM sangat bersedia dari segi mental dan juga fizikal walau apapun yang akan berlaku. Manakala dari segi pengurusan pula, kami akan menyediakan air yang cukup dan akan mandi ais selepas sahaja selesai setiap perlawanan.”


Saiful berkata “Selaku ketua pasukan, saya bukan sahaja berbangga dengan kemenangan ini, namun saya juga berbangga dengan sikap pemain yang mana ada tujuan iaitu ingin memenangi pertandingan ini. Oleh itu, kami berharap agar kemenangan kepada pihak UKM akan terus berterusan.”


Menurut Najmi, beliau berharap agar pemain akan sentiasa fokus dan memberikan komitmen yang terbaik kepada pertandingan yang akan datang iaitu Piala IPT Divisyen 1 kerana perlawanan akan dijalankan pada setiap minggu. Katanya kerana khuatir jika terdapat pemain yang mana tidak mampu untuk memberikan kerjasama yang baik.


Penyampaian hadiah disampaikan pada majlis penutupan dengan UKM sebagai juara, UPNM naib juara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebagai tempat ketiga. Pemain terbaik pula dimenangi oleh Ahmad Hijazi Mahyudin dari UKM FC apabila beliau berjaya menyumbang satu mata gol pada perlawanan akhir.

60 views0 comments