• Phuan Kennie

UKM jadi Universiti Awam Pertama Membuka Cawangan di Qatar

Penulis: Phuan Kennie

Penyunting: Nur Ezzati Rosli


Sumber: Sumberkini.my


BANGI , 25 Mei – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi universiti awam pertama Malaysia yang berjaya membuka cawangannya di luar negara iaitu di Doha, Qatar.


UKM melakar satu lembaran baharu dalam usaha menjadi Malaysia sebuah hab pendidikan tinggi apabila UKM menjadi universiti awam (UA) pertama negara yang berjaya membuka cawangan di luar negara.


Majlis bersejarah ini disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.


Menurut Menteri pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Noraini Ahmad di laman Facebooknya berkata, pengambilan sulung akan bermula pada Oktober 2022.


“Kejayaan UKM dalam menjadi pemangkin bagi universiti utama mengembangkan sayap ke luar negara direalisasikan melalui majlis menandatangani satu Memorandum Perjanjian atau MOA di Doha pada 20 Mei antara UKM dan The Regional Group of Qatar.


The Regional Group of Qatar merupakan sebuah syarikat yang menguruskan bidang pembangunan hartanah, pengurusan asset, pertanian, pelaburan saham dan khidmat perundingan kejuruteraan di Qatar.


“Saya gembira kerana UKM telah menjadi penyumbang kepada pencapaian tersebut dan telah mengambil langkah seterusnya untuk meluaskan penglibatan pengantarabangsaannya dengan meluaskan programnya ke Qatar.


“UKM juga menawarkan peluang baharu kepada pelajar melalui program yang akan membolehkan mereka menguasai kemahiran yang bernilai tinggi seperti bahasa asing, komunikasi antara budaya, pemikiran kritikal dan sebagainya,” tambahnya.


Melalui perjanjian yang ditandatangani pada 26 Mac lalu, UKM bersetuju untuk menawarkan program-program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah secara persisir (offshore) di Doha.


“Saya sangat berharap agar kerjasama yang erat seperti ini akan mendekatkan lagi negara kita dan mengukuhkan sektor pendidikan kita,’’ tambahnya lagi.


Menurut Timbalan Pengarah UKMSHAPE, Prof. Madya Dr. Fariza Binti Khalid berkata bahawa ini adalah langkah yang baik untuk UKM.


“Saya berasa sangat bangga apabila mengetahui tentang berita ini. Sebagai sebuah universiti yang beriktiraf, sudah tiba masanya untuk UKM mengembangkan lagi jaringan kepelbagaian pelajar.


“Sesungguhnya, ini adalah sesuatu yang boleh membuat kita bangga menjadi sebahagian daripada kakitangan akademik UKM. Bagaimanapun, apa yang lebih penting bukan sahaja meraikan pencapaian ini, tetapi fakulti dan pensyarah yang menawarkan program ini perlu memastikan kualiti program. Ia juga mestilah memuaskan dan menjadi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada semua pelajar,” katanya.


11 views0 comments