Nadi Bangi
UKM Juara Piala Silambam UUM 2019
Oleh : Kumutha Vallii Veloo
Penyunting : Haziq Fikri

Sintok, 13 Oktober 2019 - Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melakar sejarah dengan memenangi Piala Silambam di Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi pertama kalinya dengan mendapat mata yang tertinggi dalam keseluruhan pertandingan yang dianjurkan oleh Kelab Silambam pada 28 September 2019 ini.
Piala Silambam merupakan satu pertandingan sukan yang dianjurkan oleh Mahasiswa India dibawah Kelab Silambam UUM bagi tujuan merapatkan hubungan pelajar dari universiti awam, menggalakkan dan mencungkil bakat pelajar dalam bidang sukan dengan mewakilkan universiti masing-masing.
Sebanyak 11 buah universiti awam telah menyertai pertandingan Intervasiti Piala Silambam 2019 yang berlangsung di Pusat Sukan UUM bagi pertandingan bola sepak, badminton beregu dan perseorangan serta larian 100meter.
Ketua Pengarah Piala Silambam, Varataraj, 22, berkata, beliau tidak menjangkakan mendapat sokongan daripada 11 buah universiti yang sanggup datang untuk menyertai setiap acara yang dipertandingkan sehingga lewat malam dan beliau juga berterima kasih kepada semua peserta bagi memeriahkan pertandingan ini sehingga ke akhir.
Seramai 25 orang pelajar dari Persatuan Mahasiswa India telah mewakili UKM ke pertandingan ini dengan latihan yang padat selama dua minggu bersama jurulatih dari luar.
“Pasukan lawan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjadi persaing yang kuat bagi kami di mana perlawanan bola sepak telah menjadi seri dengan 3 mata diikuti dengan sepakan penalti iaitu 4 mata pada peringkat akhir” kata Yugenthren, 20, salah seorang pemain bola sepak.
Shree Haran, 21, berkongsi kegembiraannya dalam memenangi pertandingan larian 100meter dalam masa 11 saat dan berterima kasih kepada jurulatihnya yang melatih mereka dalam masa yang amat singkat.
“Kami amat gembira, dan tidak percaya bahawa kami memenangi Piala Silambam 2019 kerana ia merupakan kali pertama kami mewaliki UKM dalam kesemua pertandingan yang berlangsung ini” kata Marvin, 21.
UKM telah mendapat pingat johan dalam pertandingan bola sepak, dan larian 100m, pingat gangsa bagi pertandingan badminton beregu manakala bagi pertandingan badminton perseorangan hanya berjaya hingga ke peringkat suku akhir.
Mereka telah menerima wang tunai sebanyak RM700 bagi johan bola sepak, piala pusingan, hamper, pingat dan juga sijil untuk semua peserta.
