top of page
  • Writer's pictureKuvineshwaren Nedunjelian

UKM Lahir 67 Graduan Pertama Sarjana Muda Sains Citra

Updated: Dec 18, 2022

Penulis : Kuvineshwaren Nedunjelian

Penyunting : Muhammad Akmal Arfan Roslan


Graduan Sarjana Muda Sains Citra bersama pensyarah Pusat Pengajian Citra Universiti

Sumber Foto: Dr Rozita Ibrahim


BANGI, 1 Dis - Seramai 67 orang pelajar Sarjana Muda Sains Citra (SmSn Citra) telah bergraduasi buat kali yang pertama pada Sidang 5 Majlis Konvokesyen UKM ke-50 baru-baru ini.


Sains Citra atau dalam bahasa Inggerisnya ‘Liberal Studies’ adalah program yang lahir bagi menyambut saranan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) untuk mengetengahkan pendidikan liberal dan multidisiplin di peringkat universiti.


Sarjana Muda Sains Citra (SmSn Citra) adalah program bersifat bukan konvensional dengan struktur kurikulum yang fleksibel di mana pelajar memilih bidang penumpuan yang diminati berdasarkan aspirasi kerjaya masing-masing.


Program SmSn Citra pertama kali ditawarkan pada Sesi 2018/2019 yang lalu dengan pengambilan seramai 86 orang pelajar dan kini program SmSn Citra telah berada di kohort kelima dan jumlah pelajar sekitar 200 orang.


Rekabentuk bukan konvensional SmSn Citra ini memerlukan kerjasama yang erat antara Pusat Pengajian Citra Universiti dan fakulti-fakulti lain dalam UKM dari segi penawaran kursus-kursus penumpuan mengikut bidang yang diminati pelajar.


Selain fakulti dalam UKM, pelajar-pelajar SmSn Citra juga ada yang menjalani mobiliti ke universiti lain di Malaysia misalnya ke Universiti Malaya (UM) di mana pelajar mengambil bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak, dan ada yang ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengambil kursus-kursus bidang pelancongan.


Menurut Ketua Program SmSn Citra, Dr Rozita Ibrahim, beliau sangat bersyukur kerana akhirnya program SmSn Citra berjaya dapat melahirkan sebuah graduan pada kali pertama.


“Saya berasa sangat bersyukur kerana akhirnya program SmSn Citra berjaya melahirkan graduannya yang pertama setelah seluruh warga Citra berusaha sedaya upaya merealisasikan agenda pendidikan liberal multidisiplin yang dihasratkan oleh KPT ini dan juga berasa bangga melihat transformasi pelajar kami menjadi graduan setelah menjalani 4 tahun yang bukan mudah buat mereka semua,” katanya.


Dr Rozita Ibrahim bersama graduan SmSn Citra pada Majlis Konvokesyen UKM ke-50

Sumber Foto: Dr Rozita Ibrahim


Beliau juga telah kongsikan kisah kejayaan graduan SmSn Citra iaitu saudari Aishah Mutmainnah binti Khairul Anwar yang memilih bidang Gender dan Kajian Tingkah Laku.


Semasa tempoh dua tahun di universiti, Aishah telah mengambil kursus-kursus di FSSK serta menjalani mobiliti ke UM dan Monash University Malaysia dan kemudian beliau menjalankan Work Based Learning (WBL) di United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia dengan tajuk projek capstone mengenai gender dan advokasi digital. Aishah kini telah mendaftar sebagai pelajar PhD secara fast track di Universiti Putra Malaysia (UPM).


Seterusnya adalah saudara Mohamad Azirul Hanif bin Mohamad Sri yang mengambil bidang Penumpuan Bioteknologi di Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan seterusnya beliau menjalani WBL di SIRIM Berhad dan Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn. Bhd.


Azirul kini ditugaskan di Pejabat Menteri Besar Pahang di bawah program Pegawai Pelatih Pahang Talent.


Akhirnya yang ingin dikongsikan adalah graduan bernama Hijazida Hamdan yang mengambil bidang Sains Data dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) serta bidang pemasaran dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran (FEP).


Beliau seterusnya menjalani WBL di Digital Durian yang kemudiannya bertukar menjadi Durioo kini Hijazida diserap bekerja sebagai Creative Producer di situ.


Dr Rozita juga berharap agar para graduan SmSn Citra terus berusaha meningkatkan potensi diri dan jangan pernah mengalah dalam mengejar cita-cita dan moga graduan SmSn Citra menjadi insan yang berguna buat keluarga, bangsa dan negara.



281 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page