• Aliff Fikri

UKM Mara Ke Final Piala Menteri Pengajian Tinggi

Penulis : Aliff Fikri bin Muhamad Azamuddin

Penyunting : Nurnadiah Farhana binti Norazmi


Sumber : Pusat Sukan UKM Official


BANGI, 21 Jun – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selangkah untuk menjulang kejuaraan bola sepak Piala Menteri Pengajian Tinggi selepas menyingkirkan Universiti Teknologi MARA Shah Alam (UiTM) 1-0 dalam aksi separuh akhir di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mara ke perlawanan akhir dengan bergaya.


Permainan seimbang ditampilkan kedua-dua pasukan menyaksikan tiada gol dihasilkan pada babak pertama. Jaringan tunggal kemenangan UKM dijaringkan oleh kapten pasukan UKM sendiri Tuan Muqris yang menolak masuk bola ke dalam gawang pihak lawan apabila bola sepakan sudut itu terkena palang gol pada aksi separuh masa kedua.


Meskipun perlawanan berakhir dengan satu jaringan sahaja namun ia sangat bermakna buat UKM dalam meraih tiga mata penuh menentang UiTM untuk saingan kejohanan ini dan melangkah ke perlawanan akhir.


Menurut ketua pasukan UKM, Tuan Muqris, bangga dengan pasukan UKM, "Saya cukup berbangga dengan semangat yang dipamerkan oleh kesemua pemain kerana mereka tetap memburu gol walaupun sudah mendahului perlawanan dengan selesa pada separuh masa yang kedua.


“Biarpun 11 pemain tersebut menggalas tanggungjawab sebagai pelajar sepenuh masa dan perlu menghadiri kelas pada siang hari namun semangat yang ditunjukkan dalam perlawanan ini sangat memberangsangkan walaupun pasukan berlatih dengan pemain yang terhad untuk beberapa hari sahaja.”


Menurut Muhammad Farhan bin Roslie, pemain pertahanan UKM beliau bersyukur dengan peluang yang diberikan "Saya rasa sangat bangga dan bersyukur kerana terpilih mewakili UKM yang menjadi impian dan cita-cita semua pelajar UKM. Walaupun persiapan pasukan agak terhad tetapi jurulatih telah meletakkan saya sebagai kesebelasan utamanya. Ini bermakna beliau percayakan saya, jadi saya perlu berikan yang terbaik dengan peluang yang diberikan.”


Turut hadir pada perlawanan tersebut Naib Canselor UKM, YBhg. Professor Dato' Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman dan Pengurusan Tertinggi Universiti yang sudi hadir memberi sokongan dan semangat kepada pasukan UKM.


Pasukan UKM akan bertemu dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada perlawanan akhir dalam aksi timbal balik yang berlangsung di tempat masing-masing nanti iaitu 28 Jun. UPNM melangkah keperlawanan akhir dengan selesa selepas menundukkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 3-1 di Stadium Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.




17 views0 comments