top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

UKM Menubuhkan Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU

Oleh: Siti Norasikin Ariffin

Penyunting: Liaw Jia Ying



Sumber: Syawal Yusof

BANGI, 21 Dis- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menubuhkan Unit Perkhidmatan dan Sokongan Orang Kurang Upaya (UPS-OKU) sekaligus menyambut Hari OKU Kebangsaan peringkat UKM.


Tujuan utama pengurusan OKU diletakkan di bawah Jabatan Pendaftar adalah untuk memudahkan urusan secara terus kepada jabatan tertinggi UKM yang berkaitan seperti prasarana dan sumber manusia.


Syawal Yusof, 24, yang merupakan Presiden Sekretariat Mahasiswa OKU (SMAKU) berkata, “Saya amat bersyukur kerana segala urusan akan lebih mudah serta dapat membantu menjadikan UKM sebagai sebuah universiti yang inklusif.”


Tambahnya lagi, “Penubuhan unit ini di bawah Pendaftar UKM adalah untuk memudahkan penyelarasan hal ehwal OKU secara berpusat merangkumi perkhidmatan dan sokongan bagi semua pelajar, staf serta pelawat OKU di universiti”.


Terdahulu, urusan berkaitan mahasiswa dan kakitangan OKU di universiti diuruskan oleh Unit Kebajikan Pelajar dan kini diambil alih oleh Pendaftar UKM.


Mohd Hisham, 22, pelajar jurusan Sains Politik berkata, “Badan pendaftaran bertindak sebagai badan terpenting dan badan eksekutif merupakan badan yang menyusun semula dasar terhadap pelajar dan kakitangan UKM. Ini secara langsung menunjukkan pihak universiti akan lebih cakna terhadap golongan OKU dalam perlaksanaan dasar atau sesuatu program”.


Sementara itu, menurut Isma Fahmi, 22, pelajar jurusan Komunikasi Media berkata, “Majlis yang diadakan sedikit sebanyak dapat memberitahu warga UKM khususnya tentang hak dan keistimewaan OKU di sini.


“Golongan OKU ini juga banyak menyumbang kepada pencapaian yang sedang kita nikmati di UKM pada ketika ini tidak kira dalam akademik, pencapaian kendiri malahan kemahiran professional”, ujar beliau lagi.


Beliau juga berpendapat bahawa sambutan seperti ini dapat mengangkat martabat golongan OKU sama seperti orang lain.


Penubuhan unit ini juga merupakan inisiatif pihak universiti kehadapan bagi mewujudkan kampus mesra OKU.

94 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page