• Nadi Bangi

UKM Sedia 21 Buah Bas Untuk OPS Pulang Raya


Oleh: Syukri Mazli

Penyunting: Aiman Mustaqim



Sumber: Facebook


BANGI, 6 Mei - Sebanyak 21 buah bas telah disediakan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menghantar pulang para pelajar zon selatan iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang terkandas di asrama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pukul enam petang semalam.


Seramai 103 orang pelajar telah dikumpulkan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) bagi proses saringan kesihatan seperti pemeriksaan suhu badan, simptom-simptom merbahaya seperti demam, batuk, dan selesema, sanitasi bagasi dan pemberian topeng muka oleh Pusat Kesihatan Pelajar dengan kerjasama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Bomba Bangi.


Menurut Speaker Majlis Perwakilan Pelajar UKM, Yilson Yanggun, 23, menerusi laman Facebook beliau, “Sejak awal OPS Hantar Pulang Pelajar IPT dilaksanakan, lebih daripada 1000 pelajar IPT telah selamat kembali ke rumah masing-masing.”


“Saya berasa amat bangga dengan pihak UKM kerana telah berjaya mengikut segala SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi memastikan keselamatan pelajar terjaga.”


Tambah beliau lagi, “Jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, YB Noraini Ahmad atas keprihatinan yang luar biasa terhadap para pelajar IPT di Malaysia.”


Manakala salah seorang pelajar yang telah selamat pulang, Siti Norasikin Ariffin, 23, berkata, “Saya sangat bersyukur kerana dapat pulang untuk menyambut Ramadhan bersama keluarga tersayang. Pihak UKM telah membuat persiapan yang baik bagi memastikan nasib pelajar yang terkandas terbela.”


Terdahulu, pihak UKM telah berjaya menghantar pulang para pelajar Zon Utara dan Zon Pantai Timur.

30 views0 comments