• Nadi Bangi

Usahawan Bantal Kongsi Pengalaman

Oleh: Shafiq Muslim

Penyunting: Rafidahtul Aqilah Seri Lanang


Sumber: Facebook Das Abdul

BANGI, 23 Nov – Usahawan bantal terkenal Das Abdul telah berkongsi kisah hidup beliau dalam dunia perniagaan sehingga membawa kepada kejayaan yang dikecapinya dalam program Sharing by Entepreneur yang diadakan di Dewan Desa Pachi, Akademi CIMB Putra Bangi pada 14 November lalu.


Pemilik syarikat Das Abdul Group Sdn. Bhd. (DAG) ini telah berjaya melonjakkan nama beliau dalam bidang perniagaan dengan membawa idea bernasnya untuk memulakan perniagaan bantal yang bertaraf hotel tujuh bintang pada tahun 2016.


“Saya ada ijazah dalam kejuruteraan awam dan telah berkhidmat sebagai jurutera di beberapa buah syarikat di Kelantan, pernah jadi pengurus hotel dan memiliki sebuah syarikat kontraktor tapi semua itu hilang dalam sekelip mata atas beberapa masalah seperti masalah kewangan serta masalah keluarga.


“Saya berhijrah dari Kelantan ke Johor dan mencuba untuk membina kehidupan yang baru. Pelbagai pekerjaan saya lakukan sehingga terciptanya idea untuk menjual bantal melalui ‘car boot sale’ dan sedikit demi sedikit perniagaan ini maju sehingga kini saya telah berjaya membuka syarikat bantal saya sendiri,” kata Das Abdul.


Segi perkongsian ini juga telah mendapat pelbagai reaksi daripada kalangan penonton yang rata-ratanya teruja dan terinspirasi dengan kisah pengalaman hidup Das Abdul dalam membina empayar perniagaannya sehingga berjaya mendapat Anugerah Super Brand Malaysia 2019 di peringkat antarabangsa hanya dalam tempoh masa 3 tahun sahaja.


“Saya berasa sangat bertuah kerana telah diberi peluang untuk mengikuti program bersama Das Abdul ini. Kisah hidup beliau telah memberi saya suatu motivasi untuk berjaya dalam kehidupan walau apa jua halangan mendatang dan jangan cepat berputus asa serta jadikan sesuatu kegagalan itu sebagai motivasi untuk terus berjaya,” Kata Wan Nur Jasmin, 23, peserta program.


Menurut Chang Yu Ting, 22, yang turut hadir dalam program tersebut berpendapat bahawa kisah yang dikongsi Das Abdul dapat dijadikan sebagai contoh kepada usahawan lain yang ingin mencuba bidang perniagaan.


“Mendirikan sesebuah perniagaan mempunyai cabaran yang tersendiri kepada setiap usahawan baharu tetapi saya berasa sangat kagum dengan beliau kerana dapat mengusahakan perniagaannya dengan cukup baik”, katanya lagi.


“Apa yang saya dapat daripada program ini adalah sebagai usahawan baharu yang ingin menceburi dalam bidang perniagaan perlu ada sikap yang baik dan positif seperti disiplin, menepati waktu, tidak membuang masa dan berani untuk mencuba sesuatu benda baharu.

Sebagai contoh, Das Abdul sendiri bagi saya menjual barangan yang jarang dijual orang lain iaitu bantal dan beliau berjaya,” Kata Muhammad Adib, 23, yang merupakan salah seorang peserta program.


Terdahulu, program ini merupakan salah satu daripada program khas dalam Protege Booster Programme anjuran CIMB Bank yang telah dihadiri oleh hampir 90 orang peserta yang terdiri daripada graduan serta pelajar tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

106 views0 comments

Related Posts

See All