• Nadi Bangi

Ustaz Abu Syafiq Mengaku Bawa Jemaah Umrah Tanpa Vaksin

Penulis: Aina Syahirah Haidil

Penyunting: Amirah Shahirah Sukemi

Sumber: Instagram


BANGI, 11 Jan - Pengakuan berani Ustaz Abu Syafiq di laman media sosialnya yang mengatakan bahawa beliau membawa jemaah menunaikan umrah tanpa divaksin telah mengejutkan semua pihak baru-baru ini.


“Saya mengaku saya tidak Vaksin dan bawa orang yang tidak vaksin ke Saudi. Vaksin ini sudah pupus. Ramai juga jemaah tak ambil pun vaksin ini. Vaksin lain akan pupus dan tamat tempoh. Vaksin juga adalah duit dan mata pencarian untuk mereka yang bergelar pakar,” ujar beliau.


Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram yang mempunyai hampir sejumlah 29 ribu pengikut tersebut, beliau juga lantang mengkritik tindakan kerajaan yang menyekat kemasukan jemaah umrah ke Arab Saudi dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu kezaliman kepada jemaah umrah.


“Rakyat Malaysia ramai tertipu dengan pemimpin zalim. Sebenarnya boleh je terbang ke luar negara jika tidak Vaksin MM atau vaksin Covid-19. Kerajaan saudi membenarkan rakyat Malaysia datang saudi dan buat umrah. Tapi pemimpin zalim halang rakyat Malaysia buat umrah.”


Beliau juga sebelum ini sinonim digelar sebagai anti-vaksin oleh rakyat Malaysia kerana menentang pengambilan vaksin dan bergiat aktif dalam menyebarkan fahaman anti-vaksin di semua platform media sosial beliau.


Pemerhatian wartawan Nadi Bangi di laman media sosial Twitter mendapati bahawa majoriti rakyat menyelar dan mengecam sekeras-kerasnya perbuatan beliau. Hal ini juga telah menimbulkan tanda tanya dari orang ramai terhadap ketegasan pihak berkuasa seterusnya menyeru kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap isu ini.


Menurut ciapan daripada Faisal Rahim, beliau menyifatkan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Ustaz Abu Syafiq yang bangga dapat menipu dan melanggar undang-undang negara seolah-olah bertujuan untuk mencabar pihak berkuasa supaya mengambil tindakan ke atasnya.


Dalam pada yang sama, ciapan dari Boo Su Lyn yang mendapat perhatian ramai pula menyokong sepenuhnya langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menyekat jemaah umrah ke luar negara disebabkan oleh masalah tingkah laku yang terjadi seperti ini, ditambah pula dengan kedegilan sesetengah individu yang melanggar arahan kuarantin yang sepatutnya.


“Tak layak jadi ustaz. Islam ajar jadi manusia yang bermanfaat, bukan tambah masalah dan menyusahkan orang lain. Kerajaan tolong tangkap secepat mungkin anti-vaksin yang suka sebar info palsu macam Ustaz Abu Syafiq ini.” @arlia


“Tolong ambil tindakan ke atas Ustaz Abu Syafiq. Boleh menjelaskan reputasi Malaysia dan risau akan menjejaskan jemaah haji dan umrah akan datang.” @wahee_01


Sebelum ini juga, Khairy Jamaluddin dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah memutuskan untuk menyekat kemasukan jemaah umrah ke Arab Saudi rentetan daripada 14 orang jemaah umrah yang didapati memalsukan sijil vaksin dan telah disahkan positif Covid-19 varian Omicron.

99 views0 comments

Related Posts

See All