top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

VAR di Liga Perdana Inggeris: Pencetus Kontroversi dan Masih Tidak Sempurna?

Penulis: Mohamad Ameruddin Mohamah Nor

Penyunting: Muhammad Danish Muqrieyz Jamaluddin

Sumber: Google


Video Assistant Referee ataupun dikenali sebagai VAR merupakan video yang digunakan untuk membantu pengadil perlawanan bola sepak dalam memeriksa dan seterusnya menjustifikasikan keputusan pengadilan dalam perlawanan yang berlaku. Ia membantu keputusan pengadil dalam bentuk video slow motion dan sekaligus pengadil tersebut boleh lihat kembali kemungkinan berlaku kesalahan foul-play ataupun offside.


VAR diperkenalkan di Liga Perdana Inggeris pada awal musim 2019-2020 untuk membantu pengadil dalam membuat keputusan yang betul. Namun, walaupun teknologi tersebut diperkenalkan untuk membantu keputusan pengadilan, kontroversi tetap berlaku dalam pengadilan Liga Perdana Inggeris sekaligus menimbulkan persoalan daripada peminat bola sepak mengenai kerelevanan teknologi tersebut.


Insiden Hand Ball Yang Tidak Dapat Dikesan oleh VAR

Salah satu insiden yang melibatkan kesalahan pengadilan dengan bantuan VAR berlaku pada 6 Mac 2021 di Stadium Turf Moor yang menyaksikan perlawanan antara pasukan Burnley menentang Arsenal, iaitu pada minit ke 75 di mana Nicolas Pepe (kiri) sedang berhadapan dengan Eric Pieters (kanan) dan kelihatan bola yang digeleceknya terkena tangan pemain pertahanan Burnley itu. Namun, keputusan foul dan penalty kick tidak diberikan kepada pasukan Arsenal dan perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 1-1.


Beberapa pengulas bola sepak mempersoalkan keputusan pengadil itu tidak menghadiahkan sepakan penalty kepada Arsenal. Menurut bekas pemain Chelsea, Joe Cole, menyatakan bahawa semua orang yang menonton bersetuju bahawa ia merupakan foul play dan sepakan penalty seharusnya dihadiahkan kepada Arsenal. Bekas kapten Arsenal, Martin Keown turut mempersoalkan bagaimana pengadil dengan bantuan VAR tidak dapat mengesan foul play itu.


VAR Tidak Dapat Mengesan Keberadaan Bola Di Dalam Pintu Gol

Seterusnya ialah perlawanan di antara pasukan Sheffield United menentang pasukan Aston Villa pada musim 2019-2020 yang menyaksikan bola secara jelasnya telah memasuki pintu gol pasukan Aston Villa tetapi gol tidak diberikan kepada Sheffield United dan permainan berjalan seperti biasa.


Pada perlawanan tersebut, banyak persoalan dilontarkan kepada keputusan pengadilan dan juga VAR kerana tidak dapat mengesan bahawa bola yang diserang oleh pemain Sheffield United telah memasuki pintu gol. Ketika perlawanan tersebut juga, telah dinyatakan bahawa sistem untuk memeriksa keberadaan bola dalam pintu gol, Goal Line Technology pada waktu itu disahkan tidak berfungsi namun tetapi VAR masih berfungsi seperti biasa. Perkara ini secara langsung telah menimbulkan kontroversi terhadap penggunaan teknologi VAR tidak dapat mengesan keberadaan bola tersebut.


Kontroversi Offside line

Pengesanan kedudukan pemain di posisi offside ataupun onside merupakan salah satu faktor penting mengapa VAR ini diaplikasikan di Liga Perdana Inggeris dan juga di liga–liga bola sepak yang lain di seluruh dunia. Namun tetapi, faktor pengadilan dan juga peranan VAR tidak lari daripada tercetusnya kontroversi dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris.


Sejak daripada awal Liga Perdana Inggeris mengaplikasikan penggunaan VAR, banyak kontroversi tercetus yang melibatkan penggunaan sistem tersebut untuk mengesan pemain yang berada di kedudukan offside ketika ingin menjaringkan gol. Perlawanan seperti pasukan Liverpool menentang Wolverhampton, Manchester City menentang Sheffield United, Southampton menentang Crystal Palace dan juga Brighton Hove & Albion menentang Bournemouth merupakan beberapa contoh yang membuktikan bahawa pengaplikasian VAR masih tidak lagi sempurna dan juga tidak seratus peratus membantu pengadil dalam membuat keputusan yang tepat.


VAR vs Pengadil: Siapa Beri Kata Akhir?

Teknologi merupakan sesuatu yang sangat berguna kepada masyarakat pada zaman sekarang dan banyak memberi manfaat terutamanya kepada pengguna. Namun, kita tidak boleh mengharapkan dan hanya bergantung kepada teknologi untuk menjustifikasikan keputusan dan persembahan kita.


Pengaplikasian VAR dalam Liga Perdana Inggeris merupakan sesuatu yang sangat wajar dilakukan untuk membantu para pengadil membuat keputusan yang lebih tepat setelah kita mempelajari terdapat kontroversi dan kekurangan dalam aspek pengadilan. Kita juga perlu tahu bahawa segala kontroversi yang berlaku adalah berpunca daripada keputusan yang dibuat oleh pengadil itu sendiri dan tidak boleh seratus peratus menyalahkan penggunaan teknologi VAR itu.


Selain itu, pengadil Liga Perdana Inggeris yang juga boleh dikategorikan sebagai golongan profesional dalam aspek pengadilan ini harus memainkan peranan mereka dalam menjalankan sesebuah perlawanan bola sepak dengan adil dan elakkan daripada bias terhadap pasukan-pasukan tertentu. Dengan pengaplikasian VAR pada masa kini untuk membantu mereka dalam membuat keputusan yang lebih tepat, mereka juga harus meneliti dengan lebih peka menerusi kemudahan ulang tayang dengan menggunakan teknologi tersebut untuk mengelakkan kecaman dan secara langsung membuktikan bahawa kepentingan penggunaan teknologi VAR ini masih relevan untuk masa depan bola sepak.


Akhir kata, daripada artikel yang ditulis, kita dapat pelajari bahawa kita yang dianugerahkan keistimewaan akal tidak boleh hanya bergantung kepada teknologi sahaja untuk menjustifikasikan pemilihan dan keputusan kita. Kemudahan teknologi seperti VAR ini hanya merupakan satu sistem untuk membantu kita membuat keputusan, malah hasil akhir keputusan itu terletak pada tangan kita.


181 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page