Wartawan: Fatin Roslee
Penyunting: Amelin Yazimi
Sumber:Google
SHANGHAI, 1 Julai – Sejenis virus baharu daripada babi yang ditemui oleh para saintis di China dilaporkan boleh menjangkiti manusia dan berisiko menjadi wabak pandemik baharu.
Menurut kajian dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS), penyelidik China mengkaji virus influenza yang berpunca daripada babi dari tahun 2011 hingga 2018 dan menjumpai strain G4 H1N1 yang memiliki semua ciri penting yang mampu menjangkiti manusia.
Virus yang dinamakan G4 EA H1N1 ini dikatakan berkembang dan membiak dalam sel yang tumbuh dalam saluran pernafasan manusia mengakibatkan kesukaran bernafas dan kemungkinan membawa maut.
Setakat ini, vaksin influenza sedia ada tidak merangkumi virus G4 EA H1N1 dan ujian antibodi juga membuktikan bahawa sistem ketahanan badan manusia tidak ada kekebalan untuk melawan virus ini.
Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian, dalam sidang akhbar harian pada hari Selasa lalu mengatakan, China akan sentiasa peka dan mengikuti perkembangan tentang virus baharu tersebut.
"Kami akan mengambil semua langkah yang diperlukan untuk mencegah penyebaran dan penularan virus itu," katanya lagi.
Melalui pemerhatian Nadi Bangi di Twitter, rata-rata netizen amat bimbang akan kemunculan virus baharu ini dan ramai yang memberi cadangan untuk menyekat sebarang hubungan dengan negara China.
Salah seorang pengguna Twitter, @ejaishariff1 memberi komen, “Kerajaan dah boleh tutup pintu masuk negara dari negara China ini. Lagipun pengotor sangat,”
“Jadi selepas ini putuskan sahaja penerbangan dari China ke Malaysia dan dari Malaysia ke China,” komen daripada pengguna Twitter @alifizzuddin10 yang turut menyokong penyekatan hubungan dengan negara China.
Para penyelidik berpendapat bahawa virus ini memerlukan pemantauan yang ketat memandangkan wabak COVID-19 yang sedia ada masih belum pulih sepenuhnya.
Comentarios