• Nadi Bangi

Voir Taja Tong Kitar Semula Sempena Jom Fabrik Ukm

Penulis: Jesika Berliana

Penyunting: Nadzra Natasha


Pengurus Pemasaran Voir, Kricia Bong (kanan sekali) bersama tong kitar semula Jom Fabrik.

Bangi, 23 Nov- Jenama pakaian fesyen ternama, Voir menaja sebuah tong kitar semula sebagai tanda sokongan terhadap kempen Jom Fabrik yang dirasmikan di Pusanika Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 7 November lalu.


Program anjuran UKM dengan kerjasama Institut Onn Ja’afar (IOJ) ini berjaya menarik minat Voir untuk menjadi penaja utama kerana objektifnya yang menggalakkan kitar semula pakaian terpakai sekaligus mengurangkan sisa buangan berasaskan fabrik.


“Jom Fabrik merupakan satu kempen yang dijalankan untuk mendidik masyarakat akan kepentingan menguruskan pakaian tidak terpakai dengan cara yang betul. Pihak pengurusan Voir merasakan ini adalah platform terbaik untuk kami menunaikan tanggungjawab sosial sebagai penggiat industri fesyen dan kami sangat berbesar hati untuk menjadi penaja utama bagi kempen ini.


“Sebagai penjual pakaian, kami sedar betapa ramai orang yang suka membeli pakaian namun tidak ramai antara kita yang tahu cara betul untuk menguruskanpakaian yang sudah tidak digunakan sehingga menyebabkan lambakan fabrik tidak terpakai di pusat pelupusan sampah,” kata Pengurus Pemasaran Voir, Kricia Bong.


Kricia yang ditemui dalam satu sidang media selepas majlis pelancaran Jom Fabrik menyatakan bahawa pihak Voir menaja sebuah tong kitar semula yang dikhususkan untuk pakaian dan barangan berasaskan fabrik sahaja.


Tong tersebut diletakkan di hadapan bangunan Pusanika UKM yang merupakan antara kawasan tumpuan pelajar-pelajar UKM.


“Tujuan kita meletakkan tong tersebut di situ adalah bagi memudahkan pelajar UKM untuk datang dan meletakkan fabrik yang tidak digunakan ke dalam tong sebelum pihak kami kumpulkan dan lupuskan pakaian tersebut dengan kaedah upcycle dan recycle,” tambahnya lagi.


Kricia menjelaskan bahawa setiap pakaian yang diletakkan ke dalam tong tersebut akan disumbangkan kepada golongan yang memerlukan atau diolah semula menjadi produk baharu.


Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Ir Datuk Dr Othman A Karim pula dalam sidang media yang sama menyatakan bahawa Jom Fabrik merupakan antara insiatif terbaik yang mampu dilakukan UKM untuk memupuk kesedaran terhadap amalan kitar semula pakaian menggunakan platform yang betul.


“Masyarakat perlu didedahkan dengan pengetahuan bahawa baju yang tidak terpakai ini sebenarnya boleh dikitar semula atau disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.


“Justeru, saya amat berharap agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap masalah-masalah alam sekitar,” kata beliau yang juga merupakan perasmi kempen Jom Fabrik tersebut.

143 views0 comments