• Nadi Bangi

Wani Kayrie Gamatkan KAKON 47

Penulis: Jesika Berliana

Penyunting: Nazrin Zulkafli


BANGI, 11 Okt: “Saya tak sangka sambutan yang diberikan penonton UKM sangat luar biasa, ini antara persembahan terbaik yang pernah saya buat,” demikian kata penyanyi popular tanah air, Wani Kayrie, 19.


Wani atau nama penuhnya, Syazwani Abdullah berkata demikian selepas selesai membuat persembahan untuk Karnival Konvokesyen UKM Ke-47 (Kakon 47) di perkarangan Dewan Canselor Tunku Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, baru-baru ini.


Penyanyi yang semakin meningkat naik selepas menyertai pertandingan realiti televisyen Big Stage ini mempersembahkan tiga buah lagu iaitu Jangan Jangan, Hanya Rindu dan single terbarunya, Magika.


“Pertama sekali saya berasa sangat teruja apabila dijemput untuk membuat persembahan di UKM kerana ini merupakan penampilan pertama saya di sini setelah sekian lama.


“Saya bukan sahaja menyanyi sebaliknya turut beramah mesra dan berinteraksi dengan peminat di UKM selama hampir sejam. Jujur saya katakan, saya berasa sangat terharu dengan sambutan baik yang diterima.


“Saya tak sangka mereka sangat sporting untuk naik ke atas pentas dan menari bersama-sama saya. Ada juga yang sanggup datang dari luar UKM semata-mata untuk menyaksikan persembahan saya.” katanya.


Wani ketika ditemuramah wartawan Nadi Bangi turut mengakui berasa sangat dihargai apabila rata-rata penonton hafal dan turut menyanyikan lagunya bersama-sama.


“Persembahan di UKM ini adalah antara persembahan terbaik saya. Insyaallah sekiranya saya dijemput untuk membuat persembahan di UKM lagi, saya akan menerimanya dengan hati terbuka,” tambahnya lagi.


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kakon 47, Fariz Bin Osman juga mengongsikan rasa bangga dan bersyukur dengan kejayaan Kakon 47 yang mendapat pujian daripada semua pihak termasuklah artis jemputan, Wani Kayrie.


“Alhamdulillah walaupun hanya diberi masa selama tiga bulan untuk menjayakan program ini, segalanya berjalan dengan lancar dan boleh dikatakan semua pihak berpuas hati dengan penganjuran Kakon 47.


“Semua ini mustahil tercapai tanpa kerjasama dan komitmen tinggi daripada sekretariat Kakon 47,” kata Fariz dalam satu temuramah selepas majlis perasmian penutupan Kakon 47 tamat.

59 views0 comments