top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Wanita Mangsa Utama Dalam Isu Jenayah Siber

Oleh: Mariam Zamri

Penyunting: Ziera Adurah


Sumber: Instagram @perundang


BANGI, 14 Jun - Pelbagai isu jenayah siber seperti gangguan siber, buli siber, hendap siber dan menakutkan secara jenayah di bawah skop keganasan berdasarkan jantina secara atas talian telah banyak melibatkan wanita sebagai mangsa utama.


Menurut Pengarah Kryss Network, Serene Lim, “keganasan berdasarkan jantina adalah keganasan yang ditujukan terhadap seorang wanita kerana dia seorang wanita atau mempengaruhi wanita secara tidak seimbang.”


Beliau juga berkata bahawa elemen jantina dilibatkan adalah kerana ketidakseimbangan kuasa jantina yang wujud dalam masyarakat di mana kebiasaannya, lelaki dianggap sebagai jantina yang dominan, manakala wanita dianggap sebagai jantina yang submisif.


“Disebabkan ini, lelaki berasa berhak untuk menjadikan wanita sebagai objek seksual walaupun wanita itu merupakan seorang ibu atau seorang yang berkerjaya,” beliau berkata demikian.


Pegawai Program Perkhidmatan All Women’s Action Society (AWAM), Mayna Ramesh, berkata, “faktor mengapa wanita selalu dipilih menjadi mangsa utama dalam satu perbuatan keganasan berdasarkan jantina adalah kerana wanita dilihat sebagai jantina yang lemah, ketidakseimbangan kuasa antara jantina dan isu kejantanan toksik.


“Berdasarkan statistik AWAM dari bulan Januari sehingga bulan Mei 2021, kami telah membantu 405 pemandiri wanita dan 38 pemandiri lelaki. Tidak proportionate langsung,” beliau menambah lagi.


Menurut Aktivis Pelajar, Ain Husniza, ramai netizen telah mengatakan bahawa beliau bersikap berlebihan, beremosi dan sensitif apabila bersuara mengenai isu jenaka lucah yang telah dikongsi oleh gurunya semasa waktu pembelajaran di sekolahnya.


“Apabila isu ini dinormalisasi, orang akan berfikir bahawa ia tiada kesalahan, dan sebab itulah Ain buat #MakeSchoolASaferPlace untuk pelajar memberitahu masalah kepada guru.


“Masa Ain menyuarakan pendapat, ramai cyberbully Ain terutamanya orang dewasa dan salah satunya adalah seorang cikgu yang mengatakan kalau badannya macam itu, saya pun nak merogolnya,” kata beliau lagi.


Serene Lim juga berkata bahawa banyak kes yang berlaku di ruang digital seperti Facebook dan Twitter adalah kerana mereka menyalahgunakan penggunaan media sosial.


“Contohnya, cyberflashing di mana lelaki menunjukkan gambar kemaluan mereka secara atas talian untuk menakut-nakutkan mangsa.


“Punca utamanya bukanlah perkara baru, tetapi teknologi menambahkan lapisan kerumitan yang baru kepada bagaimana keganasan mensasarkan wanita. Contohnya, apabila wanita melaporkan postingan ugutan rogol atau bunuh, namun postingan tersebut tidak dihapuskan,” tambah beliau.


Antara inisiatif yang telah diambil oleh AWAM menurut Mayna Ramesh dalam menyelesaikan isu keganasan berdasarkan jantina secara general adalah mengumpul maklumat undang-undang dan memberi kaunseling secara percuma tanpa mengira jantina, bangsa serta agama.


“Bagi kes-kes siber, AWAM akan membantu mangsa untuk membuat laporan polis.


“Pautan Telegram gambar wanita dan kanak-kanak yang lucah juga akan dikemukakan kepada polis dan yang terakhir, kami sedang mengusahakan untuk memastikan penggubalan undang-undang berkaitan secepat mungkin,” ujar beliau.


Menurut Peguam Jenayah di Messrs Irwan & Athira, Irwan Sumadi, “undang-undang siber dan jenayah yang sedia ada di negara kita sudah mencukupi, namun kekurangannya adalah jika pelaku jenayah tersebut berada di luar negara, ini akan membabitkan undang-undang antarabangsa.


“Penekanan di sini adalah kesedaran orang awam terhadap isu ini kerana jika orang awam cakna terhadap isu ini, secara tidak langsung kes-kes ini akan berkurangan dan komuniti menjadi lebih selamat,” tambah beliau lagi.


Sekiranya terdapat lebih kesedaran oleh masyarakat mengenai isu-isu jenayah siber ini, jenayah-jenayah tersebut dapatlah dielakkan. Manakala, tanggungjawab pertubuhan bukan kerajaan dan parlimen adalah untuk memastikan undang-undang berkaitan sentiasa dikemaskini.

254 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page