• Nadi Bangi

Warga Pekan Pahang Sambut Ramadhan Dalam Suasana PKPD

Oleh: Rahimi Rahim

Penyunting: Azmi Nordin


Sumber: Google


PEKAN, Pahang - Masyarakat di sekitar Pekan, Pahang terpaksa akur dengan arahan PKPD yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi menyekat penularan kes Covid-19 namun sambutan puasa disambut dengan sederhana akibat 11 kes baharu yang muncul pada 4 April 2021.


Menurut statistik yang dipetik daripada laman sesawang Majlis Daerah Pekan, kluster yang disahkan adalah melibatkan kluster teknologi di Peramu Jaya, Kluster Jalan Putra, Kluster Jalan Gambang dan beberapa kes kontak rapat. Turut terlibat kawasan dan tempat tinggal pekerja yang berkhidmat di kilang-kilang yang berdekatan. Hasil daripada kemunculan kluster ini, kerajaan telah menetapkan kawasan tersebut dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).


Menurut salah seorang petugas di sebuah kilang di kawasan Pekan yang turut terkena tempias Encik Rahim Ali, menyatakan perasaan hiba atas apa yang berlaku namun diterima dengan tenang. Beliau begitu sedih kerana bulan ramadan sudah hampir tiba dan seperti tidak percaya akan menyambut bulan mulia ini sama seperti yang dihadapinya pada tahun lepas.


“Saya sedih dan hiba disebabkan puasa dah makin dekat. Perkara yang berlaku sekarang sama seperti yang terjadi pada tahun lepas sampai menyebabkan kami sekeluarga tidak dapat untuk balik ke kampung untuk menyambut hari pertama puasa bersama sanak saudara seperti beberapa tahun ke belakang”.


Tambahnya lagi, ujian swab telah dilakukan sebaik sahaja kluster dikenal pasti dan ia akan mengambil masa beberapa hari untuk mendapatkan keputusan. Perkara ini sedikit sebanyak membantutkan persediaan warga di kawasan sekitar untuk membuat persiapan menyambut bulan Ramadan. Meskipun tempoh masa PKPD adalah 14 hari cukup baginya untuk memastikan keputusan tersebut adalah negatif dan memastikan dirinya selamat untuk bersama keluarga apabila Ramadan menjelang.


“Selepas sahaja keputusan berkaitan dengan kluster di Kawasan ini keluar, Syarikat terus mengumpulkan petugas-petugas yang terlibat untuk di swab test . Biarlah PKPD lama sekalipun tapi saya berdoa kepada Allah S.W.T supaya keputusan negatif dan boleh berbuka puasa dengan anak serta isteri saya”.


Pandemik yang terus berlangsung ini sedikit sebanyak mencacatkan aktiviti seharian masyarakat pada bulan puasa yang masing-masing ingin bersama sanak saudara terutama pada hari pertama berpuasa. Ia telah menjadi simbolik masyarakat yang beragama Islam apabila kedatangan bulan mulia ini keluarga merupakan salah satu perkara penting yang akan melintas di akal fikiran.


Anak perempuannya, Izzati Insyirah 13 Tahun, turut menyatakan rasa kesal dan hampa kerana tidak dapat bersama-sama mengikuti minggu pertamanya bersekolah seperti rakan-rakannya yang lain dan disebabkan oleh kuarantin.


“Dah lama tak ke sekolah dari awal darjah enam hingga sekarang. Sekarang bila dapat ke sekolah terpaksa pula dikuarantin dan tak boleh berjumpa dengan kawan-kawan. Pelajaran pun tertinggal sebab tiada Class Online”.


Wajah hiba dan sedih jelas terpampang pada wajah ahli keluarga tersebut apabila menceritakan kisah mereka yang terpaksa mengikuti arahan diberikan KKM dan mengadaptasi dengan norma baharu sambil menjalani ibadah puasa tidak lama lagi dalam keadaan kuarantin dan PKPD ini.

28 views0 comments

Related Posts

See All