• Nadi Bangi

Wisma Aman Sedia Menghadapi PKP Terbaru

Oleh: Amirul Naim

Penyunting: Alis Awasi

Gambar: Amirul Naim

Wisma Aman sedang menjalankan tugas

BANGI, 16 Jan - Penolong Pegawai Keselamatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Solehuddin Anuar menyatakan bahawa pihak jabatan pendaftar kini bersedia menangani covid-19.

Beliau turut menyambut baik tindakan kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 kerana peningkatan kes yang semakin membimbangkan.

Ketika ditemu bual oleh pihak Nadi Bangi, beliau menegaskan bahawa pegawai keselamatan di UKM sentiasa komited dalam memberi bekerjasama dan sentiasa mengekalkan kesiagaannya untuk membantu memutuskan penularan rantaian pandemik Covid-19 yang kini memasuki gelombang ketiga.

Katanya, pengawalan pergerakan keluar masuk pagar UKM sentiasa dijaga rapi dengan pembahagian empat checkpoint dalam Kawasan UKM dan tiada tindakan berbentuk kompromi ketika menjalankan tugas keselamatan. Malah, atur gerak bagi anggota juga akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

“Kami di Wisma Aman UKM sentiasa komited dalam menyambut saranan kerajaan untuk membasmi virus COVID-19 ini. Kami juga turut bertindak tegas tanpa kompromi dalam menjalankan tugas dan kami turut menggandakan usaha untuk memperketatkan kawalan keluar masuk pintu UKM untuk mengurangkan risiko jangkitan virus ini”, katanya.

Tambah beliau lagi, Wisma Aman UKM sentiasa bekerjasama dengan pihak kerajaan, PDRM dan pihak berkuasa lain bagi memperkasa lagi saranan kerajaan dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 ini.

“Kami di Wisma Aman juga sentiasa bekerjasama dengan agensi dan badan kerajaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjayakan lagi keberkesanan PKP kali ini”, ujarnya.

Terbaharu Perdana Menteri Malaysia Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan untuk tempoh 14 hari bermula Rabu ini (13 Jan 2021).

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini melibatkan lima buah negeri dan tiga wilayah persekutuan iaitu Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Manakala, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melibatkan negeri Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Seterusnya, Perintah kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut. Bagaimanapun, kerajaan Sarawak hari ini meletakkan Kuching, Sibu dan Miri di bawah PKPB.

2,062 views0 comments

Related Posts

See All