Nadi Bangi
YK MOTIVATIONAL PROGRAMME 2020, PEMANGKIN PELAJAR CEMERLANG SPM
Oleh: Fatin Roslee
Penyunting: Amelin Yazimi

Sumber: Ketua Program, Amir Amsyar Zamzam
BANGI, 11 Mac –Yayasan Khazanah dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan satu program motivasi iaitu YK Motivational Programme 2020 yang telah berlangsung pada 3 dan 4 Mac yang lalu bertempat di Kolej Keris Mas, UKM.
YK Motivational Programme 2020 ini diadakan khas untuk pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terutamanya dari golongan b40 yang duduk di luar bandar untuk memperoleh pengetahuan mengenai peluang biasiswa dan hala tuju selepas SPM.
Program tersebut disertai oleh lebih 50 orang pelajar yang terpilih dari seluruh Malaysia yang menunjukkan prestasi cemerlang sewaktu peperiksaan percubaan.
Menurut Ketua Program, Amir Amsyar Zamzam (Sarjanamuda Psikologi, tahun 3), program seperti ini bagus kerana pelajar mendapat pendedahan tentang biasiswa yang wujud di dalam dan luar negara. Tambahan pula, pelajar juga turut diajar bagaimana untuk menghadiri dan mempersiapkan diri untuk sesi temu duga biasiswa.
“Para pelajar juga turut dibawa ke sekitar kampus UKM untuk melihat kawasan dan suasana belajar di universiti. Para pelajar dibawa ke Perpustakaan Tun Sri Lanang dan juga ke Pusat Inovasi Teknologi Manisan untuk melihat bagaimanakah coklat diproses.”
Katanya, aktiviti-aktiviti seperti ini juga dapat menggalakkan para pelajar untuk menyambung pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia pada peringkat Sarjanamuda kelak.
Salah seorang peserta program ini yang datang jauh dari Kedah, Muhammad Shafiq Azizi berkata, “Saya pada mulanya masih kurang jelas dengan biasiswa mana yang patut saya mohon, tetapi setelah mengikuti program ini, saya sudah mempunyai sasaran biasiswa pilihan untuk dipohon selepas ini.”
YK Motivational Programme 2020 yang dirasmikan oleh Naib Presiden Kanan Yayasan Khazanah, Intan Zalila Mohd Yusof itu mendapat respon positif daripada semua peserta yang terlibat.