• Nadi Bangi

KPZ MENANG BESAR!

Oleh: Jesika Berliana

Penyunting: Ateefa Zulkifli


BANGI: Kolej Pendeta Za’ba (KPZ) melakar sejarah tersendiri apabila membolot kesemua anugerah dalam Pertandingan Debat Piala Naib Canselor 2019 yang berlangsung di Persada Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, baru-baru ini.


Kedua-dua pasukan debat KPZ yang berjaya ke pusingan akhir berjaya merangkul gelaran johan dan naib johan bagi pertandingan tersebut sekaligus membawa pulang sejumlah wang tunai, hamper dan trofi.


Keenam-enam pendebat yang mewakili kedua-dua pasukan tersebut turut menerima anugerah individu apabila masing-masing dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik.


“Saya tidak dapat menahan air mata sebaik sahaja pasukan kami diumumkan sebagai juara kerana kemenangan ini merupakan kemenangan pertama saya selepas tiga tahun aktif menyertai pelbagai pertandingan debat,” kata Robiatul Adawiyah Saad, 19, yang berperanan sebagai pembangkang pertama dalam pusingan akhir pertandingan tersebut.


Robiatul menganggap anugerah berkumpulan dan individu yang diterima oleh peserta-peserta KPZ tersebut adalah ganjaran teristimewa buat mereka selepas tiga minggu bertungkus lumus menjalani sesi latihan yang padat.


Majlis Eksekutif Pelajar Akademik yang juga merupakan pengurus pasukan debat KPZ, Noor Asyikin Shafiqah Atham Malik, 20, berkata, beliau sangat bersyukur dan berbangga dengan kemenangan besar yang diraih pada malam tersebut.


“Belum pernah lagi dalam sejarah KPZ mahupun UKM, kolej yang sama bertanding merebut gelaran juara di peringkat akhir. Bagi saya ini merupakan satu detik bersejarah buat kami semua,” kata Asyikin semasa ditemuramah oleh wartawan Nadi Bangi.


“Kami sememangnya bercita-cita untuk sampai ke tahap ini kerana kali terakhir KPZ mara ke pusingan akhir adalah pada tahun 2016. Meskipun begitu, saya tidak menyangka bahawa KPZ akan berentap dengan KPZ sendiri pada pusingan akhir kali ini. Tahniah saya ucapkan pada pendebat-pendebat muda ini,” tambahnya lagi.


Pengetua KPZ, Profesor Madya Dr. Ahmad Sunawari Long pula ketika dihubungi berkata beliau sama sekali tidak menjangkakan kemenangan besar tersebut dan berasa amat bangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh peserta-peserta debat tersebut.


“Kemenangan ini merupakan sesuatu yang tidak disangka-sangka dan saya tidak keberatan untuk mempertimbangkan ganjaran bagi pelajar-pelajar ini yang telah mengharumkan nama KPZ,” kata beliau.

241 views0 comments