Nadi Bangi
Aniss Nabilla Guna Instagram Untuk Bantu Rakyat Palestin
Oleh: Ain Natasha
Penyunting: Hazwani Syairah

BANGI, 17 Mei - Siapa sangka usaha seorang gadis hanya dengan membuat sebuah postingan di Instagram mampu meraih sebanyak 35, 368 pautan di platform media tersebut dalam misi membantu rakyat Palestin yang diserang hebat oleh rejim Zionis.
Aniss Nabilla, 23 yang juga merupakan graduan dalam bidang Komunikasi Massa lepasan Inti International College Subang, yang suka berkongsi cerita mengenai Palestin di laman sosial Instagram miliknya. Pada awalnya, beliau menggunakan Instagram hanya sekadar untuk menyampaikan informasi berkaitan kejadian-kejadian yang berlaku di Palestin. Namun, tanpa disangka postingan tersebut telah tular dan ramai orang menggunakan postingan tersebut untuk menyalurkan bantuan dana di Palestin.
Katanya, “Saya ingin menggunakan platform media yang sedia ada untuk melakukan posting tersebut adalah kerana perasaan sedih dan marah terhadap apa yang sedang berlaku di Palestin. Melihat video, berita, gambar dan sebagainya menggerakkan saya untuk melakukan sesuatu. Dengan itu, saya telah membuat penyelidikan dan mengumpulkan beberapa organisasi NGO dalam satu posting untuk memudahkan semua pihak yang ingin menghulurkan bantuan. Tambahan pula, terdapat beberapa pihak yang tidak tahu dimana ingin mencari sumber ataupun kesahihan sesebuah dana.”
Tindakan Aniss Nabilla dalam menyebarkan postingan poster tersebut adalah untuk membantu serta mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu rakyat di Palestin. Poster yang dibuat oleh beliau telah dikongsi oleh kebanyakan artis dan aktivis Malaysia seperti Lisa Surihani. Rakyat Malaysia juga menjadi rakyat yang terawal yang menyalur bantuan ke Palestin. Antara badan kebajikan yang turut terlibat adalah Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Cinta Syria Malaysia, Yayasan Min Qalby, Global Peace Mission Malaysia, Muslim Care Malaysia Society, Haluan Malaysia, Viva Palestina Malaysia dan MyFund Action Malaysia.
Tambah beliau juga, beliau mahu semua pihak berkongsi posting tersebut untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat kerana postingan tersebut bukan hanya mengenai dana bantuan semata-mata tetapi saya juga telah memberikan sedikit sebanyak info tentang apa yang berlaku terhadap rakyat Palestin. Alhamdulillah, dengan tidak disangka-sangka posting tersebut tular dan telah dikongsikan oleh berpuluh ribu orang.
Namun, baru-baru ini terdapat kenyataan media yang dikeluarkan oleh wakil kedutaan Palestin di Malaysia mendakwa bahawa dana yang diusahakan untuk membantu masyarakat di Palestin tidak sampai kepada pihak pengurusan Masjid Al Aqsa. Ianya berlaku disebabkan oleh kekeliruan maklumat yang disebarkan oleh orang ramai.
Sementara itu, pergolakan yang berlaku di antara Israel dan Palestin berpunca daripada perebutan tuntutan ke atas kawasan tanah yang sama. Pelbagai usaha untuk meleraikan konflik di antara dua buah negara ini namun gagal. Sehingga kini ratusan bilangan manusia yang cedera dan terkorban. Tindakan agresif tentera rejim Zionis bukan sahaja melakukan penindasan tetapi kekejaman kepada seluruh rakyat Palestin.
Ketika ditanya mengenai harapan beliau, beliau berharap agar dengan usaha kecilnya ini dapat membuka hati rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan dengan mudah. Jika tidak berkemampuan, cukuplah sekadar berkongsi kepada pihak yang lain dan sama-samalah kita berdoa untuk mereka yang berada di Palestin.