top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

10 Ribu Penonton Hadir Konsert A Night With Aina Abdul 3.0

Penulis : Ahmad Idham Ahmad Hamzah

Penyunting : Misha Mysarra Abdul Karim


sumber: Instagram Aina Abdul


KUALA LUMPUR, 18 Nov - Konsert A Night With Aina Abdul 3.0 langsung tidak menghampakan peminat apabila Aina Abdul memberikan persembahan cukup bertenaga selama tiga jam setelah julung kali mengadakan konsert berskala besar lantas membuktikan apabila hampir 10,000 penonton hadir ke Axiata Arena, Bukit Jalil bagi menonton persembahannya pada malam Sabtu kelmarin.


Aina yang cukup terkenal dengan teknik nyanyian bernada tinggi menyampaikan sebanyak 34 buah lagu popularnya termasuk beberapa lagu daripada penyanyi lain menerusi konsert A Night With Aina Abdul 3.0 itu.


"Momen paling menyentuh perasaan sudah tentu ketika menyanyikan lagu Terus Hidup. Sebenarnya, baru semalam (Jumaat) saya buat keputusan pakai baju itu (busana berkonsep awan yang dipakai di pentas AJL Ke-37).


"Pada awalnya saya tiada niat nak buat 'encore' pun. Saya hendak terus menyanyi lagu itu. Tetapi, apabila ternampak busana itu dipamerkan, saya terfikir bagaimana jika saya pakai baju itu yang sangat istimewa dan masih ada bau AJL," kata Aina Abdul.


Aina turut memperkukuhkan karier melalui konsert yang dijayakan dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN).


Lebih tiga jam beraksi dan mempersembahkan 34 lagu, Aina masih mampu mempertahankan keampuhan vokalnya sambil mengukir senyuman seperti tiada bebanan di bahu.


Pada malam itu, Aina turut membuktikan dia mampu membawa lagu tradisional apabila memilih untaian indah dipopularkan oleh Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini iaitu Fatwa Pujangga, Bunga Tanjung dan Empat Dara.


Tidak hanya itu, Aina juga menyediakan tiga mikrofon berlainan yang bernilai RM120,000 untuk disepadankan dengan tema pakaiannya.


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali yang bertindak sebagai penganjur konsert berkata, kos keseluruhan konsert Aina Abdul 3.0 menelan belanja sebanyak RM1.8 juta.


"Konsert ini adalah percubaan pertama kami bekerjasama dengan Aina. Tapi saya amat bersyukur kerana kami memiliki keserasian yang baik dan semua masalah berjaya diatasi bersama.


"Seperti yang anda semua sedia maklum, konsert ini juga adalah kali pertama saya bekerjasama dengan artis tempatan dan Aina berjaya membuktikan kesungguhannya untuk memastikan konsert ini berjaya.


"Semoga kami mempunyai rezeki untuk terus berkolaborasi pada tahun depan. Menerusi konsert ini hampir 98 peratus tiket terjual dan kira-kira 10,000 penonton yang hadir," katanya.


"Cabaran kali ini amat berbeza sewaktu konsert Aina Abdul 2.0 di Istana Budaya tahun lalu. Namun Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.


"Kalau anda nak tahu saya hanya ada masa empat minit untuk menukar setiap persalinan ketika konsert berlangsung. Jadi boleh bayangkan tekanan yang saya dan krew perlu lalui, tapi syukur semuanya mengikut seperti yang dirancang," kata Aina.



133 views2 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page