top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

50 Peserta dari Negeri Johor Sertai Kem Jambori Remaja Islam 2023

Penulis: Nur Fathin Athirah binti Nor Azman 

Penyunting: Deepalakshmi A/P Manickam 


Sumber: Instagram @jamborikpij2023 


SKUDAI, 25 Dis- Seramai 50 peserta yang berasal dari negeri Johor telah menyertai Kem Jambori Remaja Islam yang dianjurkan oleh Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ) pada tahun ini yang telah diadakan selama 4 hari 3 malam bermula dari 22 Disember hingga 25 Disember 2023 bertempat di Hutan Rekreasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai. 


Para peserta ditemani oleh 24 orang pegawai bertugas bagi memastikan kelancaran acara dan memberi sokongan kepada peserta. Terdapat juga 12 fasilitator yang turut serta, membantu menciptakan suasana bagi memastikan setiap peserta mendapat manfaat dari pengalaman ini.


Kem Jambori Remaja Islam kini menjadi agenda tahunan yang dijadualkan pada setiap akhir tahun. Program yang menjadi kebiasaan ini diadakan sebagai satu-satunya program wajib yang melibatkan pelajar sekolah menengah. Ia diperkenalkan sebagai inisiatif bagi memanfaatkan cuti sekolah malahan, Kem Jambori Remaja Islam ini juga mempunyai objektifnya yang tersendiri. 


Menurut Pengarah Program Jambori, Hazique Idrus berkata, program Jambori yang dibuat setiap tahun ini adalah bertujuan untuk meningkatkan jalinan dan penyatuan persaudaraan dalam kalangan remaja Islam. Selain itu, bagi mempersiapkan remaja Islam untuk mempunyai kekuatan mental, jati diri dan lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran dan juga dapat menerapkan konsep amar makruf nahi munkar dalam pemantapan peribadi setiap remaja Islam. 


“Melalui program ini, kami ingin meramaikan lagi kaderisasi iaitu pelapis-pelapis untuk anak-anak muda yang bakal menyambung gerakan kami. 


“Selain itu, program ini bukan sahaja dapat memperkukuhkan persaudaraan dan peribadi remaja, malahan dapat memberikan pandangan luas kepada remaja melalui program ini, dengan mengadakan pengalaman-pengalaman luar biasa seperti jungle trekking, rentas halangan, dan survival cuisine. Tujuannya adalah untuk membuka mata mereka terhadap keindahan dan cabaran dunia luar sambil menggali potensi diri dalam keadaan yang mencabar.” katanya.


Menurutnya lagi, beliau berkata bahawa program ini dapat mendidik sifat keberanian dalam kalangan remaja lelaki, yang memberi mereka peluang untuk mengetahui tanggung jawab menjadi imam atau bilal di usia muda mereka. Seterusnya dapat melatih peserta tentang amar makruf nahi munkar dalam setiap latihan dalam kumpulan, atau aktiviti lain yang dijalankan mempunyai pengajaran dan ibrah yang sejajar dengan nilai nilai murni Islam.


“KPIJ ini menjalankan kerja-kerja dakwah mengikut peredaran zaman, bukannya mengikut zaman dahulu seperti bagi ceramah dan sebagainya. Jadinya, kami membuat kelainan untuk berdakwah dengan cara mengadakan program-program kepimpinan seperti Kem Jambori Remaja Islam ini. Sebagai pengarah, saya sentiasa memastikan semua aktiviti berjalan dengan lancar dan juga objektif program dapat dicapai.” katanya kepada Nadi Bangi.


Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ) juga terlibat dalam beberapa program tahunan seperti Perkampungan Menara Gading Johor (PMGJ) dan Himpunan Membangun Pemuda (Tamrin Himeda). KPIJ berusaha secara aktif untuk membentuk generasi muda yang berdaya tahan dan memiliki nilai-nilai moral yang tinggi, mencerminkan kesungguhan mereka dalam pembangunan positif remaja Islam di Johor.

190 views3 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page