top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Aplikasi MySejahtera Terima 700,000 Pendaftaran Dalam Seminit

Oleh : Farahin Fadzil

Penyunting : Fatihah Roslan


Sumber: Mstar

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Inisiatif kerajaan dalam mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet individu yang menggunakan aplikasi MySejahtera telah mendapat sambutan yang menakjubkan apabila 700,000 pendaftaran secara atas talian diterima aplikasi tersebut dalam suatu masa yang serentak.


Di dalam sidang media yang diadakan pada 8 Jun yang lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa inisiatif pemberian oleh kerajaan ini bertujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia memuat turun aplikasi MySejahtera bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengenal pasti dan memaklumkan kontak rapat sekiranya berlaku sebarang jangkitan kes COVID-19 dalam sesebuah lokaliti setempat.

“Kerajaan ingin menyarankan rakyat Malaysia menggunakan aplikasi MySejahtera bagi membolehkan penilaian kesihatan kendiri dilakukan”, katanya.


Aplikasi MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu mengawasi penularan wabak COVID-19.


MySejahtera Check-In juga diwujudkan sebagai satu fungsi tambahan dalam aplikasi MySejahtera di mana ia memberi kebenaran kepada semua jenis premis untuk mengikuti SOP Pembukaan Semula Ekonomi yang digariskan oleh Kerajaan Malaysia dalam keadaan pasca COVID-19 ini.


Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media khas mengenai perkembangan terkini COVID-19, beliau menasihatkan rakyat Malaysia agar menjarakkan tempoh memuat naik aplikasi MySejahtera untuk mengelakkan daripada berlaku kesesakan sekali lagi dalam sistem aplikasi tersebut.


“Kita mendapat 700,000 pendaftaran serentak dalam masa seminit. Jadi kita nasihatkan mereka, adakan penjarakkan juga”, katanya .


Dalam perutusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai agihan RM50 menerusi akaun e-dompet, beliau turut mengumumkan inisiatif tambang pengangkutan RM1 sehari di bawah program MY30 berkuatkuasa 15 Jun sehingga 31 Disember 2020.

8 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page