top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

BAS MASIH TIDAK DIBENARKAN BEROPERASI DENGAN KAPASITI PENUH

Oleh: Syahzanani Sajidah

Penyunting: Fazlan Kamaruzaman


Sumber: Astro Awani

PUTRAJAYA, 8 JUN: Kesukaran penjarakan sosial di dalam bas merupakan faktor utama pihak kerajaan masih tidak membenarkan syarikat bas beroperasi dengan kapasiti penuh, perkara ini susulan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membolehkan hampir kesemua sektor perniagaan kembali beroperasi bermula 10 Jun 2020.


Kerajaan mengambil langkah untuk tidak membenarkan syarikat bas beroperasi dengan kapasiti penumpang yang penuh oleh kerana syarat Standard Operating Procedure (SOP) yang memerlukan orang ramai menjaga penjarakan sosial sewaktu berada di luar.

Dalam sidang media harian yang dilakukan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya syarikat bas dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh, sudah pasti syarat Standard Operating Procedure (SOP) gagal dipatuhi selain masih tiada syarat SOP yang mewajibkan setiap penumpang memberikan butiran diri kepada syarikat bas.


“Syarat SOP yang perlu kita patuhi ialah penjarakan sosial, jadi sekiranya mahu kapasiti penuh, tentu saja tiada penjarakan sosial di dalam bas lebih-lebih lagi tiada rekod tentang penumpang bas yang turun dan naik, nama dan nombor telefon penumpang”,

“Sekiranya ada kes jangkitan daripada penumpang bas yang lain, sudah pastinya sukar untuk mengesan mereka yang berada di dalam bas, jadi setakat ini bas masih lagi tidak dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh, hanya separuh sahaja dibenarkan untuk menjaga penjarakan sosial” kata beliau dalam sidang media yang disiarkan oleh Astro Awani.


Hal ini susulan dengan Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang membolehkan hampir kesemua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya beroperasi semula secara berperingkat, susulan dengan perkara ini Nadi Bangi sempat menemu bual beberapa orang awam.


Saidah Azman, 34, berpendapat bahawa tindakan kerajaan tidak membenarkan syarikat bas beroperasi dengan kapasiti penuh adalah tindakan yang benar kerana masyarakat masih perlu mematuhi SOP yang telah diberikan demi keselamatan diri sendiri dan orang lain.

“Saya ada dengar juga mengenai perkara itu dan saya rasa apa yang kerajaan lakukan adalah tindakan yang betul kerana negara kita belum sepenuhnya bebas dari wabak jangkitan Covid-19, kita tidak tahu virus berada di mana”.


“Menaiki bas dengan kapasiti yang penuh agak membimbangkan, sekiranya kita tidak menjaga penjarakan sosial pastinya ia turut membahayakan kesihatan kita dan orang sekeliling”, katanya ketika ditemu bual oleh Nadi Bangi.


Dalam pada itu, Muhammad Razali, 40, pula berpendapat tiada keperluan untuk membenarkan syarikat bas beroperasi dengan kapasiti penumpang yang ramai kerana dikhuatiri wujud kluster baharu sekiranya tidak menjaga penjarakan sosial sewaktu berada di dalam bas.


“Bagi saya, syarikat bas ini tidak perlu diberi keizinan untuk beroperasi dengan penumpang yang terlalu ramai, bukan apa, kita takut wujud kluster baharu sekiranya ramai orang menaiki bas yang sama dalam satu-satu masa”, katanya.


Manakala Abu Bakar Ali, 59, pula turut memberi pandangan yang sama apabila beliau turut bersetuju dengan pihak kerajaan yang masih tidak membenarkan syarikat bas beroperasi dengan kapasiti yang penuh oleh kerana faktor keselamatan adalah lebih penting dari pulang ke kampung.


“Elok lah kerajaan masih tidak memberikan kebenaran syarikat untuk beroperasi dengan kapasiti penuh, bagi saya lebih baik kita pentingkan keselamatan diri sendiri dahulu, pulang ke kampung bila-bila masa sahaja boleh, kita tidak tahu virus Covid-19 berada di mana”, katanya ketika ditemu bual oleh Nadi Bangi.

13 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page