top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

COVID-19: Nafas Baru Buat Peniaga Bazar Ramadan

Oleh: Fazlan Kamaruzaman

Penyunting: Syahzanani Sajidah



Bazar Ramadan di Pahang pada tahun 2019

Sumber: Nadi Bangi

KUANTAN, 4 April – Perniagaan secara dalam talian telah memberi nafas baru kepada para peniaga bazar Ramadan setelah Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan bahawa kesemua tapak bazar di negeri itu diarahkan tutup dalam menangani penularan wabak COVID-19.


Walaupun Ramadan pada tahun ini agak berbeza, namun telah ramai peniaga yang kebiasaannya berniaga di tapak bazar Ramadan telah mengambil pelbagai inisiatif mengikut cara tersendiri bagi menjana pendapatan lebih sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah masuk fasa ke 4 pada hari ini.


Seorang penjaja pizza kampung dari Kuantan, Pahang iaitu Fadillah Kamaruzaman, 33 berkata, kini dia tetap menjalankan perniagaannya secara dalam talian dek kerana tiada tapak di bazar Ramadan seperti tahun-tahun sebelumnya dan kesemua pizza yang ditempah akan dihantar ke rumah pelanggan sebelum waktu berbuka.


Patuh kepada arahan Kerajaan Negeri Pahang yang melarang pembukaan bazar Ramadhan, ibu kepada dua orang anak yang masih bersekolah itu langsung tidak terkesan dengan pembatalan bazar Ramadan kerana baginya ia merupakan peluang terbaik bagi menyambut Ramadan bersama keluarga dimana mereka tidak perlu lagi ke tapak bazar Ramadan.


‘Ramadan tahun ini amat berbeza sekali buat saya kerana tidak perlu lagi berniaga di tapak bazar Ramadan seperti tahun-tahun sebelumnya namun bagi saya ini adalah satu rahmat yang berbeza kerana dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga tercinta dalam mengharungi bulan Ramadan pada tahun ini,’ katanya ketika ditemubual.


Bagi seorang lagi peniaga yang mengalami nasib yang sama iaitu Zalina Rahman, 30, perniagaan lompat tikamnya pada tahun ini tidaklah mendapat sambutan yang hangat seperti Ramadan sebelum ini namun tetap bersyukur dengan rezeki yang diberikan.


‘Saya merasakan Ramadan kali ini amat berbeza kerana kebiasaanya saya akan sibuk menguruskan gerai di bazar Ramadan dan mendapat untung yang sangat lumayan namun pada tahun ini rezeki tidak menyebelahi saya kerana saya sukar untuk membuat servis penghantaran dari rumah ke rumah akibat ketiadaan kenderaan,’ katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.


Perintah larangan pembukaan bazar Ramadan di seluruh Negeri Pahang itu telah diumumkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 8 April yang lalu selari dengan perintah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham yang tidak menggalakkan sebarang perhimpunan bagi mengelak jangkitan COVID-19 terus menular.


‘Perintah ini melibatkan 94 lokasi bazar Ramadan di seluruh negeri Pahang dan seramai 4,639 peniaga berdaftar akan terkesan dari larangan pembukaan bazar Ramadan ini,’ kata Menteri Besar Pahang dalam pengumuman rasmi tersebut.

7 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page