Penulis: Aisyah S.Razali
Penyunting: Snoreeta Ravindran
Sumber Foto: Laman Sosial Rasmi PMFSSK UKM
BANGI, 3 Mei – Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (PMFSSK) bakal menganjurkan Festival Wanita Anggun buat kali pertama pada tahun 2023 yang mengangkat konsep ‘Memperkasa Pengetahuan Melalui Pendidikan’ mengenai aspek kecantikan, keterampilan dan keusahawanan wanita sepanjang dua hari bermula pada 31 Mei 2023 sehingga 1 Jun 2023 bertempat di Dewan Perdana dan laluan Chow Kit, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Festival Wanita Anggun merupakan hasil kolaborasi bersama Syarikat Pharmacore Technology and Innovation Sdn Bhd melalui jenama mereka, Wardah Beauty yang menawarkan pelbagai pengisian menarik mengenai pendidikan penjagaan wajah serta keterampilan diri secara percuma kepada pelajar. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah ‘Be Your Own Kind of Beauty’,‘Dress for Success’ dan ‘Vlog:Life Routine Skincare’ pada 31 Mei diikuti ‘Super Woman FSSK’ dan ‘Super Woman Talk’ pada 1 Jun 2023. Pelbagai pertandingan yang dijalankan sepanjang festival berlangsung di samping penglibatan rerurai (Booth) mengenai kecantikan juga bakal memeriahkan lagi festival ini.
Ketua Program Festival Wanita Anggun, Nor Fazilah Syahira (Ijazah Sarjana Muda Sejarah,2) berkata, tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan mengenai aspek rutin penjagaan wajah, tips pemilihan produk yang selamat serta pembangunan keyakinan diri dengan perkongsian santai yang menyeronokkan. Keunikan festival ini turut mengetengahkan tema keusahawanan wanita.
“Program ini bukan sahaja mengenai pendidikan mengenai kecantikan wajah sahaja, tetapi aspek personaliti diri, keterampilan diri dan pendidikan keusahawanan wanita juga turut diketengahkan. Pengisian menarik juga akan disampaikan oleh panel daripada pakar kecantikan daripada pihak Wardah sendiri serta bicara inspirasi juga turut melibatkan pemilik-pemilik syarikat terkemuka di slot ‘Superwoman Talk’. Pelbagai manfaat yang diperoleh oleh pelajar termasuklah perkongsian ilmu santai mengenai teknik-teknik penjagaan wajah, kesedaran mengenai kepentingan kualiti produk kecantikan, penampilan kepelbagaian gaya fesyen moden terkini serta pelbagai tawaran hadiah menarik dengan tajaan sepenuhnya oleh pihak Wardah.
“Peserta juga berpeluang untuk mencungkil bakat dan soft skill mereka melalui penyertaan pertandingan yang turut dijalankan dua minggu awal sehingga hari festival berlangsung seperti mini vlog yang bertemakan kemahiran penjagaan kulit mahupun teknik solekan tersendiri, penyertaan peragaan busana dan juga OOTD bersama produk Wardah dengan #FWAxWardah serta #FSSKxWardah. Hasil kreativiti peserta akan dipaparkan di akhir setiap slot dan pemenang akan diumumkan melalui keputusan juri,” Kata Fazilah.
Ujarnya, kehadiran mahasiswa juga turut dialu-alukan bagi memeriahkan lagi festival ini selari dengan objektif utama program yang turut memfokuskan kepada ‘Mahasiswa Aspirasi Watan’.
Seterusnya, Fazilah berkata,“Perawatan wajah adalah imej seorang pelajar sama ada lelaki mahupun wanita. Mahasiswa juga sangat dialu-alukan untuk sama-sama hadir bagi mendapatkan pendidikan mengenai keterampilan diri dan perawatan kulit wajah. Selain booth mengenai kecantikan dan kewanitaan, rerurai daripada pertubuhan swasta juga akan turut dijemput sekali.”
Menurut Jawatankuasa Pendaftaran, Hazirah binti Hamzah (Ijazah Sarjana Muda Psikologi,2) berkata, sasaran pendaftaran adalah seramai 300 sehingga 500 peserta di mana peluang keemasan ini tidak seharusnya dilepaskan oleh pelajar terutamanya dalam kalangan mahasiswi UKM.
“Penyertaan adalah terbuka kepada semua fakulti. Sesi pengisian ilmu menjemput panel-panel yang berilmu dan berpengalaman serta pengetahuan ini adalah sangat berguna terutamanya dalam kalangan mahasiswi bagi meningkatkan lagi kesedaran tentang keperluan penampilan diri, perkongsian mengenai perawatan kulit wajah serta etika pemakaian dari head to toe," Katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai festival ini, pelajar boleh layari laman sosial rasmi Instagram dan Tiktok @PMFSSK_UKM dan Facebook @PMFSSKUKM dan pendaftaran boleh dilakukan di sini.
Comments