top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Fizi "Minta Maaf" Sempena Hari Raya

Oleh: Amira Zulaikha binti Saidon Penyunting: Liu Jiun Er


Sumber: Twitter @lescopaque

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Akaun Twitter rasmi Les’ Copaque memuatnaik klip video permohonan maaf oleh Fizi, watak daripada rancangan Upin Ipin beberapa hari setelah tular di media sosial tentang kompilasi klip video menunjukkan watak tersebut yang sering ‘cakap lepas’ dan tidak sensitif. Walaupun rancangan Upin Ipin merupakan produksi tempatan, rancangan kartun ini mempunyai pengikut fanatik terutamanya di Indonesia dan sambutan dari negara jiran ini lebih meriah berbanding di negara kita sendiri. Beberapa hari lepas, tular kompilasi ‘gurauan kasar’ Fizi di Twitter yang mencetus pelbagai reaksi. Walaupun ramai yang menganggap itu sebagai bahan gurauan, tetapi ada juga pihak yang mengatakan bahawa kata-kata Fizi boleh mengguris perasaan kanak-kanak yang menonton rancangan tersebut. Antara klip video yang paling rancak dibincangkan ialah Fizi mengatakan tiada syurga untuk Upin dan Ipin kerana mereka adalah anak yatim. Peminat Indonesia merasakan kata-kata ini tidak sensitif kerana anak yatim yang menonton rancangan ini mungkin akan tersinggung. Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi berkata reaksi terhadap dialog Fizi itu membuktikan siri animasi Upin & Ipin adalah dekat di hati peminat termasuk peminat di Indonesia. “Sekalipun karakter animasi ciptaan manusia, apa yang dipersembahkan seolah-olah mereka wujud di alam realiti.” Pengarah siri drama Les' Copaque Production, Khairul Aimran Ibrahim berkata, pembikinan video permohonan maaf itu mengambil masa dua hari untuk siapkan. Video tersebut disiarkan di saluran Youtube rasmi Les’ Copaque Production Channel pada jam 4 petang. "Kami turut siar video permohonan maaf itu di semua platform rasmi seperti di Facebook, Instagram (IG) dan Twitter dalam versi yang pendek." Nadi Bangi sempat mendapatkan pandangan daripada Amanda Chong, 21 mengenai isu yang tular serta tindakan yang diambil oleh Les’ Copaque ekoran daripada isu tersebut. “Pada pendapat saya, tak perlu nak minta maaf sebab Fizi itu hanya watak kartun yang menggambarkan realiti sikap budak-budak tadika. Mungkin orang ramai bosan duduk di rumah disebabkan PKP ini,” “Tapi sebenarnya produser pun pandai ambil peluang untuk dapatkan publisiti, sebab semua orang sebenarnya tak serius pun. Anggap perkara ini sebagai hiburan je, dan ambil kesempatan untuk ucapan selamat hari raya, maaf zahir dan batin untuk semua”. Reaksi di media sosial juga kembali aman mengenai isu ini, malah ramai pengguna yang memuji watak Fizi dan juga tindakan Les’ Copaque yang sentiasa peka dengan sentimen publik. Seorang pengguna Twitter Indonesia, Ikram Marki menyatakan bahawa mereka juga tidak berniat untuk membesarkan isu ini. “Dear @lescopaque, terima kasih. Atas nama netizen Indonesia kita orang juga minta maaf. Itu cuma gurau je. Takde niat benci Fizi.” Selain itu, ramai netizen di Twitter juga mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf atas kata-kata kasar yang mungkin menyakiti hati seseorang. Malah, ada yang membandingkan Fizi dengan beberapa kes tular lain seperti Samantha Katie yang memuatnaik permohonan maaf yang tidak memuaskan.

27 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page