top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Gotong-royong Membersihkan Pantai Ketika Musim PKPB


Oleh: Nur Yusliana Mohd Yusoff

Penyunting: Nur Zulaikha Hisham



Sumber: Liu Jiun Er


KEMAMAN, 6 Jun – Walaupun semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sekumpulan kecil masyarakat awam menjalankan tanggungjawab mereka dengan mengutip sampah dan membersihkan kawasan Pantai Marina yang terletak di Kemaman Terengganu pada 29 Mei yang lalu.


Idea untuk membersihkan pantai ini dilakukan oleh salah seorang pelajar Komunikasi Media Tahun 2 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Liu Jiun Er ataupun lebih mesra dipanggil June. Menurut June, dia sudah dididik sejak kecil oleh keluarganya supaya sentiasa menjaga kebersihan pantai dan mempunyai tanggungjawab untuk membersihkannya secara sukarela.

“Saya terdetik untuk membersihkan kawasan pantai tersebut apabila melihat kawasan pantai yang semakin kotor walaupun semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh masyarakat yang tidak bertanggungjawab yang membuang sampah merata-rata tempat,”


“Lebih menyedihkan lagi, kami menjumpai peti ais lama yang terdampar dan dibuang di salah satu kawasan pantai tersebut sehingga mendatangkan pemandangan yang tidak menyenangkan.”


Menurut June lagi, habitat laut di pantai seperti ikan dan penyu semakin terancam akibat daripada sampah sarap yang banyak di kawasan pantai menjadikan dirinya lebih semangat untuk membersihkan kawasan pantai tersebut.


Pada awalnya, cadangan untuk membersihkan pantai ini dilakukan bersama ahli keluarga dan rakan-rakan yang terdekat sahaja. Namun, selepas June menyatakan hasratnya untuk membersihkan pantai di laman sosial Twitter miliknya, terdapat beberapa orang awam yang lain berminat untuk menyertai mereka membersihkan pantai tersebut secara sukarela.


Salah seorang yang menyertai aktiviti gotong-royong ini, Chiah Jean, 22 berkata “Kita perlulah ada sifat tanggungjawab untuk membersihkan kawasan awam lebih-lebih lagi di kawasan pantai lebih-lebih lagi sekarang adalah musim penyu bertelur jadi kita tidak mahu kehidupan penyu terancam akibat daripada sampah sarap ini”.


Menurut saudara Nurul Fadhlan Abd Aziz, 35 pula, “Aktiviti gotong-royong ini merupakan platform yang bagus kepada masyarakat untuk melakukan aktiviti sukarelawan sekaligus dapat mendidik diri untuk menjaga kebersihan di sekeliling kita.”


Tambah June lagi, mereka masih mengamalkan amalan penjarakan sosial yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa melakukan aktiviti gotong-royong ini dimana setiap orang masih mematuhi jarak sosial yang ditetapkan dan mereka telah diberikan kawasan yang berbeza-beza untuk dibersihkan.


Sekiranya tiada halangan, mereka juga berhasrat untuk membersihkan beberapa kawasan pantai yang lain pada masa yang terdekat dan berharap agar pantai yang telah dibersihkan ini akan kekal bersih tanpa sampah-sarap.

544 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page