top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Hentikan Budaya Buli Dalam Institusi

Penulis: Farah Natasya Ramani

Penyunting: Azril Izzat Ramlan

Sumber: Google


Selepas empat tahun, enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Zulfarhan Osman Zulkarnain pada Mei 2017. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kepada keenam-enam suspek utama. Ini bermakna, tertuduh terlepas daripada hukuman gantung yang mana sebelum ini didakwa atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori serta bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.


“18 tahun? This must be a joke! They caused a family to lose their son in the most insensible way, they even laughed and smiled when reporters was taking their shots. Do you think this is enough justice for the family of Arwah Zulfarhan?”, ujar Dharshinee menerusi satu hantaran dalam Twitter.


Susulan daripada itu, kes ini kembali menjadi sebutan pengguna internet lebih-lebih lagi dalam laman Twitter sehingga terdapat lebih 80 ribu ciapan berkenaan Allahyarham Zulfarhan. Kebanyakan reaksi pengguna media sosial itu menunjukkan bahawa mereka “tak sependapat” dengan keputusan mahkamah ke atas tertuduh kerana beranggapan hukuman tidak setanding penderitaan yang telah dilalui mangsa sepanjang 11 hari terakhir di hujung hayatnya.


Budaya Buli


Secara umum, buli didefinisikan sebagai perbuatan tingkah laku agresif yang bertujuan untuk menyakiti seseorang secara fizikal, mental, atau emosi yang mana kebiasaannya perbuatan ini dilakukan secara berterusan dan berulang. Buli juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina, bangsa, dan agama namun pembuli juga sering menyasarkan golongan yang dilihat lemah di mata mereka. Wan Ahmad Faris, T. Nhaveen, dan Mohamad Naim juga adalah antara mangsa keganasan buli yang meragut nyawa mereka seawal usia 16 hingga 18 tahun. Penulis juga yakin bahawa terdapat lebih ramai lagi mangsa yang senasib namun kisahnya mungkin tidak didendangkan. Sama ada pihak pengurusan sengaja memejamkan mata memekakkan telinga atau sebaliknya, budaya buli sudah lama wujud dalam institusi pendidikan baik di peringkat sekolah mahupun universiti. Dalam konteks ini, perbuatan buli sering dibudayakan secara turun temurun atas sebab “tradisi” dari pelajar terdahulu ke pelajar baharu. Pembuli menganggap perbuatan mereka itu tidak salah malah lagi dilihat sebagai “kenangan nakal” waktu persekolahan. Namun jelas buli tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada mangsa melainkan hanya parut kenangan hitam sepanjang hidup mereka. Terdapat banyak kajian menunjukkan bahawa mangsa buli cenderung untuk berasa kesunyian, cemas, rendah diri, kurang selera makan, keletihan, kemurungan sehingga boleh meragut nyawa.


Reaksi Orang Awam


Dalam kebanyakan institusi pendidikan, para pelajar sering dimomokkan dengan sentimen “buli untuk membina ketahanan mental dan jati diri” bagi membenarkan amalan itu terus berlaku. Jadi, tidak hairanlah jika masih terdapat lagi individu yang menganggap budaya kolot ini adalah satu kebiasaan lebih-lebih lagi dalam institusi beruniform.


Buli bukan hanya salah laku individu namun buli adalah masalah sistem. Misalnya dapat dilihat dalam kes Zulfarhan, jurulatihnya tidak bertindak awal apabila mengetahui tentang kejadian yang menimpa mangsa malah lagi menyebarkan surat layang tersebut tanpa sebarang usaha membantunya. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah juga berkata sekiranya juralatih menggunakan akal, Zulfarhan mungkin boleh diselamatkan. Oleh itu, penulis berpendapat bahawa budaya buli tidak patut dibiasakan dari sekecil-sekecil perbuatan seperti meminta wang, membasuh baju dan menyiapkan tugasan senior sehingga pukul beramai-ramai yang boleh menyebabkan kecederaan yang serius malah lebih parah, maut.


“Tolonglah hentikan perkara-perkara seperti ini. Buli bukan ajar tentera jadi kuat, tapi buat mereka jadi murung dan wujud rasa benci sahaja. Besarkan anak sehingga masuk universiti kena pukul, siapa tak marah. Boleh mula belajar didik anak supaya tidak jadi pembuli.”, kata Dr Nurul Ashikin dalam ciapannya di Twitter.


“Setuju! Nanti pukul anak, pukul isteri, pukul orang. Tiada kesabaran dalam diri kerana terhasilnya benci dalam hati. Hentikan semua ini. Banyak cara lain untuk mendidik bagi ketahanan mental dan fizikal!”, ujar Khalida Khadri.


Sebagai kesimpulan, peristiwa yang menimpa Zulfarhan dan mereka yang senasib dengannya adalah satu iktibar kepada pemimpin negara, pihak pengurusan institusi, pendidik, ibu bapa, dan rakan untuk menghentikan budaya buli dalam institusi. Oleh itu, bagi membendung gejala ini adalah penting untuk melihat permasalahan daripada akar umbinya. Semua pihak hendaklah peka dan cakna terhadap isu ini kerana kita tidak mahu lagi kejadian di mana anak dihantar ke universiti sebagai harapan keluarga pulang kepada ibu bapa untuk dikebumikan.



389 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page