top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Hobi Ikan Laga Menghasilkan Pendapatan Semasa PKP

Updated: Dec 10, 2020


Oleh: Siti Masyitah Shabri

Penyunting: Amiera Hanis Hussin

Foto: Siti Masyitah Shabri


BANGI, 5 Dis - Spesies ikan yang dahulunya dibiakkan untuk pertarungan yang dikenali sebagai betta fish atau ikan laga kembali menjadi trend semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia untuk dijadikan sebagai koleksi ikan hiasan di rumah bagi penggemar ikan unik, cantik dan berwarna-warni ini.

Ikan laga merupakan ikan hiasan eksotik dan diminati kerana kecantikan warna badan, ekor dan sifat melawannya apabila bertembung dan biasanya membiak di kawasan bendang serta parit sawah selepas musim tengkujuh.

Harganya bermula dari serendah RM3 hingga boleh mencecah ribuan ringgit ditentukan bergantung kepada beberapa keunikan dan ciri-ciri utamanya termasuklah bentuk badan, saiz bukaan ekor atau sirip, kombinasi warna serta ‘janggutnya’.

Nadi Bangi sempat menemu ramah salah seorang penggemar ikan laga, Syarul Fizree yang menyatakan minatnya pada ikan ‘sombong’ ini bermula apabila rakan sekerjanya menghadiahkan beliau seekor ikan laga jenis halfmoon plakat.

“Pada mulanya, saya selalu dengar je (sahaja) kawan-kawan cakap pasal betta ini, tak minat pun. Tapi lepas member (rakan) bagi sebagai hadiah untuk saya bela, dia ada satu perasaan geram tengok warna-warna ikan laga ini dan minat rasa nak beli lagi. Itu yang ada penuh dekat (di) rumah ini,” ujar Syarul.

Sejak tiga bulan lepas, beliau kini mempunyai sebanyak 42 ekor ikan laga yang merangkumi pelbagai spesies dan kebanyakan akuarium juga telah dibina sendiri di samping dapat menjimatkan kos, semangatnya juga didorong oleh perasaan suka terhadap keunikan dan kecantikan ikan laga ini.

Tambah beliau lagi, antara kaedah untuk menjual dan membeli ikan laga adalah dengan membuat tawaran bidding di Facebook Live dengan cara penjual menetapkan harga mula dan pelanggan yang berjaya menawarkan harga tertinggi akan dapat bawa pulang ikan tersebut.

“Orang suka bela ikan laga sebab ikan laga paling senang nak jaga berbanding ikan lain, sebab dia tak perlu saluran oksigen, cuma letak daun ketapang untuk stabilkan nilai pH air dan jaga makan sahaja. Sebenarnya lagi senang dari bela ikan gupi,” katanya.




Daun Ketapang (Sumber: Google)


Hasil pencarian “Ikan Laga” atau “Betta Fish” di halaman Facebook menunjukkan banyak ruangan page yang berkongsi mengenai hobi membela ikan laga, perkongsian tips, mencari dan menjual ikan dan sebagainya, seperti Group Peminat Ikan Laga Malaysia, Peminat Ikan Betta Seluruh Malaysia, Multicolour Betta Lover, Hobi Betta Hobi Kita Semua dan banyak lagi.

Menurut seorang penternak ikan laga, Azwa Betta, selain daripada dijadikan sebagai sebuah hobi yang dapat mendisiplinkan dirinya, ikan laga turut menjadi salah satu punca pendapatan utama bagi beliau semenjak bermulanya PKP pada bulan Mac lalu.

“Pelanggan-pelanggan saya terdiri daripada pelbagai peringkat umur yang berkongsi minat yang sama, dari kanak-kanak hinggalah dewasa. Kalau duduk dekat, mereka suka datang terus ke kedai, saya pun suka sebab boleh kongsi cerita macam-macam, tapi kalau jauh pula saya biasa pos je (sahaja),” jelas Azwa Betta.

Tambah beliau lagi, meskipun masih dalam tempoh PKPB lagi, namun penghantaran ikan laga ke seluruh Malaysia masih boleh dilaksanakan kerana syarikat pengeposan BBB Express menyediakan perkhidmatan khas untuk pengeposan ikan hidup serendah RM10 dan dijamin selamat kerana ikan-ikan tersebut diletakkan di dalam plastik yang mempunyai ketahanan tinggi.



187 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page