top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Ketahui Punca Berlakunya Buli Siber

Oleh: Nadia Nurshazira Mohd Sharani

Penyunting: Seri Haidah Jaapar


Sumber: Google Image


Buli siber merupakan ancaman siber ketiga terbesar di Malaysia, sejurus selepas penipuan dan penggodaman atas talian. Walaupun terdapat dasar anti-buli, teknologi telah membawanya ke tahap yang baru. Buli siber adalah kaedah di mana pengganggu dan pembuli menggunakan teknologi moden. Kesan terburuk dari buli siber ialah orang yang dibuli tidak merasa selamat di mana sahaja mereka berada walaupun hanya duduk di rumah.


Mengikut statistik yang telah dikeluarkan oleh Cyber Security Malaysia (CSM), kes jenayah siber meningkat dari tahun ke tahun. Setiap 10,000 kes dilaporkan berlaku pada setiap tahun di negara ini dengan nilai kerugian sebanyak RM2.7 juta antaranya melibatkan kes penipuan dalam talian dan pencerobohan sistem pengkomputeran. Oleh itu, penyalahgunaan internet bukanlah satu isu yang boleh kita ambil mudah sahaja, semua pihak harus berganding bahu dalam menangani masalah sebegini.


Malaysia berada di tangga ke-6 tertinggi di dunia dan ke-2 di Asia dalam masalah buli siber. Bagaimanakah Malaysia yang pernah diklasifikasikan oleh Pusat Kajian Pew di Amerika sebagai salah sebuah negara paling konservatif dari segi moral boleh terjebak dengan buli siber ini? Komunikasi melalui ruang siber ini mudah, pantas dan bebas serta menjadi satu medium yang popular dewasa ini. Jenayah siber bukan lagi hal yang baharu, malah sering kali didengari dalam zaman moden ini. Terdapat beberapa faktor mengapa berlakunya buli siber di kalangan rakyat Malaysia.


Ketidakpuasan hati seseorang

Antara punca berlakunya isu buli siber adalah bermulanya dari ketidakpuasan hati seseorang terhadap individu tertentu sama ada atas sebab perilaku, kemewahan dan penampilan. Penggunaan teknologi yang tiada hadnya menjadikan pembuli siber lebih berani dalam mendera mangsa secara mental dengan menggunakan kata-kata yang negatif bagi tujuan menyakitkan hati mangsa lalu memberi penderaan emosi dan mental kepada mangsa. Buli siber ini mudah dilakukan kerana mereka hanya perlu menaip kata-kata yang tidak sepatutnya seperti perkataan hinaan, lucah dan berbaurkan ugutan kepada mangsa supaya dapat menyeksa mental mangsa. Hal ini menyebabkan pembuli lebih berani untuk mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya kepada mangsa.


Kurang didikan agama

Didikan agama yang kurang juga boleh menyebabkan berlakunya buli siber. Kurangnya pengetahuan nilai-nilai agama dalam diri mereka sebagai contoh mereka menghina orang dengan perkataan yang tidak sepatutnya, mengedar gambar dan membuka aib seseorang. Perbuatan seperti ini amatlah ditegah dalam agama. Hal ini boleh menyebabkan mangsa mengalami tekanan emosi yang sangat teruk dan jika dibiarkan mangsa kemungkinan akan mengambil keputusan drastik seperti membunuh diri. Kesimpulannya, kurang mendapat perhatian yang cukup daripada keluarga dan insan terdekat dan kurangnya pengetahuan nilai-nilai agama turut menyumbang kepada faktor kes siber buli ini.


Kurang perhatian daripada keluarga

Faktor berlakunya kes jenayah buli siber adalah kerana pembuli siber kurang mendapat perhatian yang cukup daripada keluarga dan insan terdekat. Hal ini demikian menyebabkan mereka ingin mencari perhatian daripada orang ramai dengan melakukan perkara yang salah iaitu buli siber. Mereka mengirim teks seperti kata-kata hinaan, ugutan kepada mangsa. Dengan cara itu, mereka dapat perhatian daripada orang awam.

Intiharnya, semua pihak wajar berganding bahu supaya isu buli siber ini dapat diatasi dengan sebaik mungkin. Setiap orang haruslah mematuhi etika dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Isu seperti ini haruslah diambil berat bukan dipandang sepi begitu sahaja. Mungkin ianya nampak biasa dan kecil bagi sesetengah orang, isu yang kecil sebeginilah harus dibendung dahulu sebelum ianya menjadi besar. Buli siber boleh membunuh orang secara senyap. Oleh itu, setiap orang haruslah menjaga adab dalam menulis atau menyebarkan sesuatu perkara agar ianya tidak menyakiti hati sesiapa.

6,532 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page