top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Lawatan Maya Ke Taman Buaya Melaka Terima Sambutan Hangat

Updated: Jun 25, 2021

Oleh: Haziq Johan

Penyunting: Anis Natasya


Sumber: Facebook


AYER KEROH, 20 Jun- Keunikan Taman Buaya dan Rekreasi Melaka yang memperkenalkan lawatan secara maya kepada pengunjung telah mendapat reaksi positif dan sambutan hangat daripada masyarakat yang rata-ratanya berasa kagum terhadap inisiatif yang dijalankan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.


Taman Buaya dan Rekreasi Melaka merupakan taman buaya terbesar di Malaysia yang dibuka pada Julai 1987 dan menempatkan hampir 100 ekor buaya di sini. Tempat yang menjadi tarikan orang awam ini dahulunya membolehkan orang berkunjung secara fizikal untuk melihat hidupan di sini, namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan aktiviti tersebut terpaksa diberhentikan buat seketika.


Walau bagaimanapun, pihak pengurusan Taman Buaya dan Rekreasi Melaka telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan lawatan secara maya kepada orang awam melalui Google Meet dengan kos penyertaan serendah RM7 seorang bermula 12 Jun yang lepas.


Menurut Koordinator Komunikasi Pemasaran Jabatan Jualan dan Komunikasi Pemasaran Taman Buaya dan Rekreasi Melaka, Muhammad Haziq bin Ismail ketika ditemubual, beliau menyatakan bahawa sambutan yang diterima amat menggalakkan walaupun baru seminggu lawatan maya ini dipromosikan secara terbuka melalui laman media sosial Facebook.


“Selepas sahaja poster lawatan maya yang kami jalankan ini tular di media sosial sejak 12 Jun yang lepas, kami telah menerima penyertaan menggalakkan daripada orang ramai di mana lebih 12 ribu orang telah mendaftarkan diri untuk mengikuti program kami setakat ini”


Pada awalnya, siaran langsung yang dijalankan oleh Taman Buaya hanyalah ditonton oleh pengikut mereka sahaja melalui Facebook Live. Namun selepas menerima banyak respon baik dan permintaan daripada orang ramai untuk meneruskan program tersebut, maka pihak pengurusan telah menyediakan platform atas talian bagi membolehkan mereka yang berminat untuk mendaftarkan diri.


Tambahannya lagi, selain daripada memberi pengalaman baharu kepada pengunjung, lawatan maya ini juga secara tidak langsung dapat menambah pendapatan bagi Taman Buaya dan Rekreasi Melaka untuk menampung kos yang perlu ditanggung bagi menjaga hidupan di taman ini.


“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan, kami tidak dapat mengutip sebarang keuntungan memandangkan tiada pengunjung yang dibenarkan hadir. Jadi lawatan maya ini merupakan inisiatif terbaik sebagai langkah bagi kami menjana pendapatan semasa PKP berlangsung.”


Lawatan maya yang dijalankan ini turut mendapat perkongsian daripada salah seorang warga Twitter dikenali sebagai @sepul_isley yang menulis pengalamannya tentang keseronokan sebagai salah seorang peserta bagi aktiviti ini.


“Jadi hari ini saya telah menyertai lawatan maya ke Taman Buaya Melaka. Sangat seronok dan program yang dijalankan tidak hambar. Daripada tak buat apa apa semasa PKP ni apa kata kita sokong mereka. Keseluruhannya penerangan yang dilakukan juga tak henti henti buatkan kita lupa dah dua jam masa berlalu.”


Dia yang sangat berpuas hati dengan lawatan maya itu turut memaparkan beberapa keping gambar bagaimana aktiviti ini dijalankan selain menyediakan pautan bagi mereka yang berminat untuk turut serta pada masa akan datang.


Seorang lagi pengguna Twitter dikenali sebagai @tarmiziabdrahim pula berpendapat lawatan maya ini wajar disokong memandangkan bayaran yang dikenakan adalah rendah dan berpatutan.


“Inisiatif yang sangat baik, mari sokong mereka masa anak-anak dah bosan duduk lama di rumah. Murah sahaja RM7 jom bantu untuk Taman Buaya membeli makanan untuk haiwan di sana”


86 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page