top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Watak “Emily in Paris” Datang Ke Malaysia?

Oleh : Chan Lyn Yi

Penyunting: Bhavanpreet Kaur

Sumber: Twitter


BANGI, 16 Nov - Rata-rata netizen menyunting gambar watak utama dalam musim pertama drama bersiri Emily in Parisyang ditayangkan di Netflix pada 2 Oktober lalu yang dibintangi oleh pelakon Lily Collins.


Netizen telah mengubah latar belakang Emily yang melakukan pelbagai aktiviti di Paris dan menjadikannya tempat-tempat rawak yang terdapat di Malaysia secara bahan lawak (meme) di media sosial Twitter dan Facebook.


Emily in Paris mengisahkan tentang watak utama iaitu Emily Cooper, seorang wanita muda yang bekerja di Chicago, Amerika Syarikat dan seterusnya berpindah ke Paris atas peluang pekerjaan sebagai seorang perancang strategi media sosial bagi sebuah syarikat terkenal. Drama tersebut mengikuti bagaimana Emily mengalami kejutan budaya di Paris dan menjadi seorang personaliti media sosial (influencer) dengan mengambil gambar dan memuat naik gambar ke Instagram secara aktif untuk berkongsi kepada pengikut akaun Instagramnya.

Emily in Paris telah menjadi sebuah rancangan yang popular dalam kalangan netizen Malaysia setelah ditayangkan dan trend menyunting gambar watak Emily in Paris dalam media sosial menjadi ikutan ramai.


Rata-rata netizen menggunakan tanda pagar (hashtag) seperti #EmilyinMalaysia, #EmilyinPerlis, #EmilyinPenang, #EmilyinKajang dan #EmilyinKL di Twitter dan Facebook ketika mereka berkongsi hasil suntingan dan kreativiti mereka mengenai watak Emily yang mengambil gambar di pelbagai tempat di Malaysia.


Ramai netizen menghasilkan gambar disunting yang lucu yang tidak sesuai dengan Emily yang berpakaian cantik dan mewah melawat sambil mengambil gambar selfie di pasar pagi, makan di kedai mamak atau beratur dengan penduduk Selangor bagi mendapatkan bekalan air di kawasan perumahan.


Seorang pengguna Twitter @IzzRaifHarz telah memuat naik gambar-gambar yang disunting mengenai Emily berada di Perlis mengambil gambar selfie dengan meletakkan tanda pagar #EmilyinPerlis di Twitter. Tweet tersebut mendapat 24.9k likes dan sebanyak 17.5k netizen telah retweet gambar-gambar tersebut.


Nadi Bangi memetik komen oleh pengguna Twitter @Ha_iril yang mengatakan bahawa gambar ini adalah lucu dan dapat mempromosikan tempat-tempat pelancongan di Malaysia . Tambahnya, beliau ingin pergi ke Perlis untuk melancong apabila melihat gambar-gambar yang disuntingkan tersebut.


Menurut Netflix, Emily in Paris akan dilanjutkan ke musim kedua. Pengarah hasil karya, Darren Star ketika ditemu ramah oleh E! News mengenai Emily in Paris mengatakan bahawa beliau belum lagi mendapat idea untuk menghasilkan jalan cerita tentang drama musim kedua bersiri Emily in Paris tetapi beliau yakin drama tersebut akan dapat menarik perhatian penonton sama seperti musim pertama yang ditayangkan baru-baru ini.


Namun begitu, Netflix belum menentukan tarikh umum bagi menayangkan drama musim kedua bersiri Emily in Paris.

106 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page