top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Pelajar MENTION Jejak Di Bumi Yogyakarta

Penulis: Intan Sabrina Hanapi 

Penyunting: Nur Aleeya Alisha Mohammed Farish


sumber : Farzana Uyub


YOGYAKARTA, 9 Dis - Program Mobiliti Rhythm Of Nusantara (Rhysantara) anjuran Kelab Mahasiswa MENTION, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan selama 6 hari bermula 4 Disember hingga 9 Disember 2023 yang bertempat di Yogyakarta, Indonesia. 


Rhysantara adalah satu program mobiliti kolaborasi antara Kelab Mahasiswa MENTION dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan pelajar Ilmu Komunikasi dari Universitas Negeri Yogyakarta yang bekerjasama melakukan aktiviti bersama bagi mencapai objektif program dalam MoU. 


Seramai 21 orang pelajar MENTION telah mengikuti program mobiliti ini dengan diiringi oleh 4 orang pensyarah iaitu Dr Maizatul Haizan Binti Mahbob, Prof. Madya Dr. Mohd Nor Shahizan Bin Ali, Dr. Shahrul Nazmi Bin Sanusi dan Dr. Khairulwafi Mamat.


Menurut Pengerusi Pusat Kajian Media & Komunikasi (MENTION), Dr Maizatul Haizan Mahbob berkata program mobiliti Rhysantara di Yogyakarta ini bertujuan memberi pendedahan antarabangsa kepada pelajar dalam memahami isu dan amalan media dan komunikasi di negara luar. 


“Melalui program ini, pelajar dapat bertukar idea dan maklumat sesama rakan disiplin pengajian media dan komunikasi khususnya dari Indonesia yang menerapkan kebebasan media di negara mereka. 


“Program ini juga mampu merapatkan ukhuwah antara dua negara jiran yang berkongsi budaya, bahasa dan agama serta pelajar juga dapat mengeksplorasi lebih banyak amalan baik sistem media dan komunikasi dari negara Indonesia yang boleh diterapkan di Malaysia,” katanya. 


Menurutnya lagi, beliau kagum dengan usaha ahli jawatankuasa program ini kerana mereka mampu bekerja dalam satu pasukan yang hebat dan boleh mengadakan aktiviti seperti penghasilan video dokumentari “Road To Oscar’ yang julung kali diadakan. 


“Ahli jawatankuasa program ini telah memberi komitmen yang sangat baik dalam menjayakan program ini walaupun dana yang terbatas daripada pihak Universiti namun mereka tetap berusaha sebaik mungkin untuk mencukupkan dana dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama. “ katanya kepada Nadi Bangi. 


Nadi Bangi juga sempat menemu ramah ketua pengarah program mobiliti Rhysantara, Nurul Izzah Tarmezi, 23, yang menyatakan beliau berasa amat lega kerana program mobiliti ini berjalan dengan sangat lancar kerana objektif program dalam MoU berjaya dicapai walaupun beliau perlu menghadapi beberapa cabaran semasa menjayakan program ini. 


“Kami hanya diberi lebih kurang tiga bulan sahaja untuk membuat persediaan bagi program mobiliti ini jadi kekurangan dana serta perbezaan bahasa untuk berkomunikasi merupakan cabaran yang besar kepada kami. 


“Namun, dari segi penjanaan kami telah berusaha untuk mendapatkan dana dengan pelbagai cara antaranya menjual kerepek dan buah serta memperoleh tajaan daripada beberapa syarikat di luar.


“Sebagai ketua pengarah juga, saya sentiasa memastikan kesemua aktiviti yang dilakukan sepanjang program itu berjalan dengan baik dan objektif program dalam MoU dapat dicapai,” katanya kepada Nadi Bangi. 


Menurutnya lagi, beliau sangat bersyukur dan menghargai usaha kesemua ahli jawatankuasa daripada kedua-dua belah pihak terutamanya wakil daripada Universitas Negeri Yogyakarta yang telah banyak membantu dan berganding bahu untuk memastikan program ini berjalan dengan sangat lancar. 


Sepanjang program mobiliti ini berlangsung, beberapa aktiviti telah dilakukan seperti kolokium yang bertemakan ‘Digital Transformation’ serta sesi penggambaran bagi video dokumentari ‘Road To Oscar’ dan travelog SEPEDA di beberapa tempat seperti Candi Borobudur, Gunung Merapi, Pantai Timang, Puncak Becici dan banyak lagi.

45 views2 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page