top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Peluang Kerjaya Untuk Siswazah Sewaktu Pandemik Covid-19

Oleh: Alis Awasi

Penyunting: Amirul Naim Baseri

Sumber : Sinar Harian

Penularan kes harian jangkitan Covid-19 yang mencecah empat angka sejak ahir-akhir ini telah menimbulkan kebimbangan kepada majoriti rakyat Malaysia, terutamanya di kalangan mereka yang telah kehilangan pekerjaan sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan juga bagi mereka yang baru sahaja menamatkan pengajian. Ini kerana pekerjaan bukanlah sesuatu yang mudah diperolehi, lebih-lebih lagi dengan penawaran kerja secara fizikal di pasaran kian berkurangan disebabkan oleh krisis pandemik yang belum berkesudahan ini. Majikan pada awal tempoh PKP terpaksa mengambil langkah berhati-hati dengan mengurangkan jumlah tenaga kerja sedia ada disamping tidak lagi merekrut pekerja baharu bagi menjimatkan kos tenaga buruh. Namun begitu, kadar pengangguran negara telah menunjukkan penurunan sedikit setelah ramai telah mengambil inisiatif sendiri mencari punca pendapatan alternatif dengan menceburi bidang perniagaan secara atas talian dan juga di dalam bidang penghantaran hasil penggunaan aplikasi-aplikasi digital seperti dropship, Foodpanda dan Grab. Kadar pengangguran negara telah direkodkan menurun sebanyak 0.6 peratus kepada 737 500 orang pada bulan September 2020, mengikut sumber Harian Metro.


Statistik Peluang Kerjaya

Pandemik Covid-19 telah menggugat sektor pekerjaan secara drastik. Sebilangan rakyat yang kehilangan pekerjaan terpaksa menceburi bidang lain bagi meneruskan kelangsungan hidup. Nadi Bangi sempat menghadiri webinar yang dianjurkan oleh pihak JobStreet yang membincangkan topik berkenaan pasaran pekerjaan sewaktu pandemik Covid-19. Menurut JobStreet, sebanyak 87% daripada pekerja menghadapi kesulitan dalam kerjaya masing-masing. Tambah mereka lagi, sebanyak 18% daripada mereka telah kehilangan pekerjaan tetap, 11% pula terpaksa menjadi penganggur sementara dengan perusahaan sektor penerbangan, peruncitan (Food and Baverage), pelancongan dan perhotelan merupakan sektor yang paling terkesan akibat Covid-19. Namun, sejak enam bulan yang lalu terdapat peningkatan 50% iklan pekerjaan melalui JobStreet, malah seramai 90% daripada calon telahpun mendapat pekerjaan seperti yang ditawarkan.

Norma Baharu

Pandemik Covid-19 telah secara tidak langsung memaksa majikan menjadi lebih inovatif dan kreatif dalam mengharungi cabaran sewaktu tempoh PKP. Sebagai contoh, rata-rata restoran kini menawarkan pendekatan tempahan baru seperti e-menu dan mengambil pesanan melalui aplikasi penghantaran makanan bagi menyelamatkan perniagaan mereka daripada jatuh muflis di masa yang mencabar ini. Hasil tinjauan JobStreet mendapati Covid-19 telah mempercepatkan proses strategi transformasi digital syarikat secara purata selama enam tahun. Oleh yang demikian, krisis Covid-19 ini telah secara tidak langsung membuka ruang baru kepada peniaga untuk meneroka bidang digital selari dengan Revolusi Industri Kempat (IR 4.0) yang menekankan ekonomi digital. Tambahan pula, pendigitalan sesebuah syarikat juga dapat memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada majikan, bahkan kepada pekerja-pekerja. Antara kebaikannya termasuklah kemunculan peranan atau bidang kerja yang baru, perubahan fungsi kerja, peluang bekerja secara atas talian serta penghasilan pekerja yang berkemahiran tinggi.


Senarai Semak Cari Kerja Norma Baharu

Tidak dinafikan cabaran untuk memperoleh pekerjaan kini menjadi lebih sengit terutamanya di kalangan graduan yang baru tamat pengajian kerana mereka terpaksa bersaing dengan mereka yang lebih berpengalaman dan pesaing-pesaing juga sanggup untuk menerima bayaran gaji yang lebih rendah daripada pasaran. Sungguhpun begitu, kebanyakan syarikat lebih gemar untuk mengambil graduan yang kurang berpengalaman kerana pada mereka kumpulan ini boleh mempelajari perkara baru dalam tempoh yang singkat dan lebih mudah dibentuk, di samping dengan penawaran kadar gaji yang rendah. Kenyataan ini turut disokong JobStreet apabila mereka dapati sebanyak 65% majikan telah menawarkan pekerjaan yang lebih sesuai untuk graduan yang baru tamat pengajian dan tidak mempunyai pengalaman bekerja di laman JobStreet.

Oleh yang demikian, pemohon perlulah bijak untuk memilih dan memohon pekerjaan yang bersesuaian dengan diri mereka. Calon digalakkan untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran yang sesuai dengan bidang kerja yang ditawarkan. Sebagai contoh, majikan kini memerlukan pekerja yang lebih fleksibel dan boleh melakukan pemelbagaian kerja dengan cekap dan profesional. Bukan itu sahaja, majikan juga lebih cenderung untuk memilih calon yang bersikap positif dan mempunyai semangat untuk mempelajari perkara baru. Oleh yang demikian, pemohon yang menunjukkan sifat terbuka, bersedia dan bersemangat sewaktu temuduga mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapat pekerjaan.

Di samping itu, pemohon perlu peka dengan tawaran yang dijanjikan oleh majikan sebelum mempertimbangkan tawaran pekerjaan tersebut. Mereka berhak untuk bertanya kepada majikan tentang gaji serta manfaat yang ditawarkan, pelindungan insuran, tuntutan perjalanan, tuntutan bil telefon dan lain-lain sekiranya tidak dimaklumkan kepada mereka. Akhir sekali, pemohon juga perlu pandai serta tidak mudah berputus asa dalam mencari peluang pekerjaan yang bagus dan sesuai dengan kemahiran mereka.



270 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page