top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Pemandu Mabuk Menggila Lagi

Oleh: Syukri Mazli

Penyunting: M.Nuraiman




Sumber: BH Online

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk dilihat semakin menjadi-jadi sehingga hari ini. Boleh dikatakan hampir setiap minggu, ada sahaja individu yang menjadi mangsa pemandu mabuk sehingga mengundang rasa marah dan geram dalam kalangan masyarakat. Mana tidaknya, angkara perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pemandu mabuk ini, ada dalam kalangan mereka di luar sana yang kehilangan insan tersayang sekelip mata.


Kali ini, penghantar makanan maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah MPV (Nissan Grand Livina) yang dipandu lelaki disyaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, Kuala Lumpur, awal pagi semalam.


Kejadian kira-kira 1.30 pagi di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara itu menyebabkan Mohamed Zaili Mohamed, 44, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.


Sebuah video berhubung kemalangan tersebut telah mula tular di media sosial pada ketika ini. Menerusi video yang dikongsikan di laman Twitter milik @redzuanNewsMPB, motosikal milik mangsa diseret beberapa kilometer dari lokasi kejadian sebelum suspek berhenti di hadapan stesen LRT Titiwangsa. Apa yang lebih mendukacitakan lagi adalah tindakan pemandu tersebut yang kelihatan mengeluarkan jari ‘thumbs up’ ketika dikejar oleh sebuah kereta milik orang awam.


Lebih memilukan lagi apabila isteri mangsa bergegas ke tempat kejadian dan tidak dapat menahan sebak dengan peristiwa yang menimpa suaminya. Arwah meninggalkan empat anak tiri berusia tujuh hingga 15 tahun dan seorang anak bersama isterinya yang berusia 6 tahun.


Menerusi Harian Metro, Zahlawati Zahlan, 47 isteri kepada allahyarham Mohamed Zaili memaklumkan dia tidak akan memaafkan pemandu itu kerana sudah hilang tempat bergantung hanya disebabkan sikap tidak bertanggungjawab individu tersebut.


“Saya tidak maafkan, nyawa tidak boleh diganti dengan wang, saya kini betul-betul hilang arah,”


Luahan hati seorang ibu yang hilang arah dek kerana kecuaian individu yang tidak bertanggungjawab amat menyedihkan hati penulis. Persoalan yang sering menganggu fikiran penulis adalah, adakah isu pemandu mabuk ini akan mendapat perhatian pihak berkuasa? Sampai bila nyawa yang tidak bersalah akan terus dikorbankan hari demi hari? Bagaimana dengan nasib keluarga mangsa yang telah hilang sumber untuk bergantung? Setimpalkah hukuman atau denda yang dikenakan kepada pesalah jika ingin dibandingkan dengan nyawa yang terkorban?


Perkara ini tidak boleh diambil ringan kerana isu pemandu mabuk ini kian berleluasa dan tidak mendapat perhatian yang secukupnya. Sampai bila kerajaan Malaysia ingin melepaskan batuk di tangga? Membiarkan sahaja ‘pembunuh-pembunuh’ ini lepas begitu sahaja? Denda kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 yang diperuntukkan di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan nyawa orang yang mati disebabkan kecuaian pemandu mabuk. Bagi Seksyen 44 pula denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000 serta penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun selain lesen memandu digantung. Itu sahaja? Bagi mereka yang kaya, mereka boleh terus terlepas dengan hanya membayar denda. Itulah sistem yang diguna pakai di Malaysia pada hari ini.


Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk sejak Januari hingga Mei tahun ini. Dalam masa lima bulan sahaja sudah 9 kematian angkara pemandu mabuk. Adakah kerajaan Malaysia akan terus membiarkan nombor ini mencecah sehingga puluhan orang? Ratusan mangsa dan ribuan keluarga?


Akhir sekali, adakah wajar untuk kerajaan Malaysia mengharamkan terus minuman keras yang amat mudah untuk dibeli dan dijual dek kerana segelintir individu yang tidak bertanggungjawab? Mungkinkah ini peringatan daripada Tuhan Sekalian Alam yang telah mengharamkan minuman keras yang termaktub di dalam kitab suci al-Quran. Dia-lah yang Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu perkara sama ada yang nyata mahupun tersembunyi.

21 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page