top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Pembaharuan Pusanika Buka Peluang Baharu Pada Ruang Kiosk Niaga Siswa

Penulis: Nur Alni Fuzuwan

Penyunting: Ayu Maisarah Lutas Asril


Sumber foto: Nur Alni Fuzuwan



BANGI, 8 Nov- Ruang Kiosk Niaga Siswa di Pusanika, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini telah mendapat sambutan daripada pelajar setelah pembukaan kedai-kedai baharu di Aras 1 Pusanika pada awal semester bulan Oktober lepas.


Kiosk Niaga Siswa ini ialah salah satu initiatif Pusat Pembangunan Keusahawanan & EKS (UKM-CESMED) untuk memberi peluang pada para pelajar yang berminat untuk menjalankan perniagaan. Perniagaan yang dibenarkan adalah barangan yang mampu memenuhi keperluan pelajar seperti makanan, minuman, aksesori dan juga baju.


Namun begitu, ruang Kiosk Niaga Siswa ini kurang diberi perhatian pada semester sebelum ini akan kerana pelajar kurang lalu di laluan ruang niaga siswa Pusanika disebabkan kawasan tersebut sunyi tanpa kedai-kedai dan kekurangan operasi baru.


Menurut Penolong Pendaftar Kanan Unit Fasiliti (HEP), Encik Abdul Qaiyum Borhan berkata Pusat Pusanika menjadi lengang akibat kekurangan peniaga di kawasan tersebut, lebih lagi ketika pasca Covid-19.


"Pasca Covid-19 telah menyebabkan ramai peniaga yang menyewa di Pusanika tidak mampu meneruskan perniagaan dan terpaksa menutup operasi mereka ditambah juga dengan kekurangan aktiviti pelajar di kawasan tersebut.


"Kini, dengan pembukaan baharu aras 1 telah mengembalikan kegemilangan Pusanika seperti zaman kemuncaknya dahulu dan dijangka akan berfungsi penuh setelah selesai semua proses naik taraf dilakukan di aras lain mengikut Pelan Strategik Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) yang telah diumumkan sebelum ini,” ujarnya.


Katanya lagi, kiosk-kiosk pelajar di bawah program UKM- CESMED ini juga telah mendapat sambutan positif disebabkan keramaian pengunjung di laluan pusanika tersebut.


Antara kedai baharu yang telah dibuka di kawasan Pusanika ialah Tealive, Zus Coffee, Sen-Teppanyaki serta e-mart24 dan kewujudan kedai-kedai ini telah menarik minat pelajar untuk melawat dan beriadah di Pusanika.


Kiosk-kiosk kecil di ruangan niaga siswa semakin bertambah dengan peniaga serta penyewa pelajar di bawah program UKM-CESMED dengan barangan seperti kiosk makanan, kiosk baju terpakai dan kiosk aksesori.


"Pembukaan kedai-kedai baru di Aras 1 ini membantu perniagaan kami di ruang Niaga Siswa kerana ramai pelajar dan juga warga UKM akan lalu di ruangan niaga ini,” kata Huda, pelajar pekerja sambilan di salah satu gerai ruang niaga siswa.


"Dalam tempoh seminggu saya bekerja di kiosk kawasan Kiosk Niaga Siswa ini, pendapatan agak stabil dan ada juga pelajar yang membeli barangan barangan aksesori seperti selipar. Pelajar yang lalu di sekitar ini ramai datang singgah untuk melihat barangan barangan yang dijual di setiap kiosk yang ada," kata Ani, yang juga seorang pekerja sambilan di ruangan Kiosk Niaga Siswa.


Menurut Atiqah, pelajar dan juga penyewa salah satu kiosk makanan di Kiosk Niaga Siswa berkata, perniagaan mereka tidak terjejas dengan pembukaan kedai-kedai baru ini kerana setiap pelajar mempunyai kehendak serta citarasa mereka sendiri bagi menentukan pemilihan gerai atau kedai yang akan dikunjungi mengikut pilihan mereka.


Perkembangan Pusanika dengan pembukaan kedai-kedai baharu ini bukan sahaja memberi nyawa semula pada bangunan tersebut, malah telah memberi sinar harapan yang baik kepada peniaga-peniaga kecil di kawasan ruang Kiosk Niaga Siswa untuk menjana pendapatan yang lebih stabil.


86 views3 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page