top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Penerbitan Namewee Sekali Lagi Menyentuh Sensitiviti Kaum?

Oleh: Shirly Low Shi Li

Penyunting: As Nurul ‘Ainaa Awanudin


Sumber : Facebook

Poster filem terbitan Namewee bertajuk ‘BABI’ jelas memaparkan perkataan ‘Melayu’ yang terletak bersebelahan dengan tajuk filem tersebut mula tular di media sosial dan dikatakan sebagai satu perhinaan kepada bangsa Melayu serta menyentuh sensitiviti kaum. Kelakuan Namewee yang tidak menjaga sensitiviti kaum itu boleh menyebabkan ketegangan hubungan sesama masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia.


Negara Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang kaya dengan keunikan budaya, adat resam, kepercayaan serta amalan kehidupan yang begitu berbeza dengan negara lain. Sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah sentiasa menghormati serta mempelajari adat resam dan kebudayaan kaum lain yang berbeza dengan kaum kita. Begitu sukar untuk rakyat Malaysia yang berlainan bangsa dan agama untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara ini. Dengan peristiwa hitam yang berlaku pada 13 Mei 1969, tragedi tersebut telah memberi pengajaran yang berguna kepada rakyat tempatan akan kepentingan kesepaduan dan keharmonian masyarakat yang berbilang kaum dan etnik di negara ini . Menurut statistik yang terdapat dari sumber MalaysiaKini, sebanyak 196 kematian dan 439 kecederaan telah dicatatkan dalam peristiwa 13 Mei itu.


Karya-karya Kontroversi Namewee Yang Terdahulu

Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee merupakan selebriti kontroversi yang sering melakukan penghinaan terhadap sesiapa sahaja yang beliau mahu. Ini bukan pertama kali Namewee menghasilkan karya yang mencetuskan kontroversi di Malaysia atas perbuatannya yang mengutuk, menghina serta mengecam kerajaan atau kaum Melayu. Menurut sumber MalaysiaGazatte, Namewee mencipta sebuah lagu yang berjudul “Negaraku” pada tahun 2007. Lagu tersebut dicipta dalam genre rap dan disiarkan dalam laman web Youtube. Lagu tersebut telah menciptakan kontroversi apabila lirik lagu tersebut mempunyai unsur penghinaan terhadap polis negara, kaum Melayu serta penganut Islam di Malaysia. Pada tahun 2010, Namewee menghasilkan sebuah video yang bertajuk ‘Nah’ yang menyentuh isu perkauman di negara ini yang membabitkan pengetua yang menghamburkan kata-kata kesat dan rasis terhadap masyarakat Cina dan India. Bahasa yang digunakan dalam video tersebut tidak sesuai untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia.


Namewee kembali memarakkan api kemarahan rakyat tempatan dengan poster filem terbarunya yang bertajuk ‘BABI’ yang memaparkan perkataan ‘Melayu’ yang terletak di sebelah tajuk filem itu. Menurut Namewee, filem ‘BABI’ mengisahkan satu pergaduhan besar yang melibatkan sekumpulan pelajar sekolah menengah yang terdiri daripada 3 kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Dalam treler filem tersebut, terdapat satu babak yang menunjukkan seorang pelajar yang jatuh dari bangunan kerana menjadi mangsa buli di sekolahnya. Menurut Namewee juga, beliau ingin memaparkan pelbagai kes buli yang berlaku di sekolah serta menyelitkan isu perkauman yang terdapat dalam filem tersebut . Menurut sumber MalaysiaKini, laporan polis telah dibuat oleh Ahli Unit Penerangan Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan, Mohamad Azwan Azmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terhadap Namewee berkenaan poster filem terbarunya itu yang didakwa telah menyentuh sensitiviti kaum. Menurut Namewee, penonton harus menonton filem terbarunya itu dari sudut kaum yang berbeza. Walau bagaimanapun, filem mini yang dikaryanya itu tidak menunjukkan situasi yang sedang berlaku di Malaysia. Persoalannya, adakah semua penonton filem cukup matang untuk berfikir dari sudut yang berbeza?


Kesan Negatif Karya Terbitan Namewee

Penerbitan filem tersebut dikatakan menyentuh sensitiviti kaum kerana poster filemnya tersebut telah memaparkan perkataan ‘Melayu’ yang bersebelahan dengan tajuk filem ‘BABI’. Pada pandangan beliau, tindakan beliau dalam menerbitkan karya-karya yang mengaitkan sensitiviti kaum dan agama adalah betul kerana ia benar-benar memaparkan situasi yang pernah berlaku di Malaysia. Walau bagaimanapun, beliau tidak pernah terfikir bahawa perbuatan yang dilakukan itu akan membawa imej buruk pada negara Malaysia yang merupakan negara yang harmoni dan bertoleransi antara satu sama lain. Malah perbuatan yang dilakukannya itu adalah dikatakan salah dari segi undang-undang Malaysia. Berdasarkan Akta Hasutan 1948, mana-mana individu yang menyebut atau menerbitkan terbitan berbentuk hasutan lebih dari sekali akan dipenjarakan tidak melebihi lima tahun. Berdasarkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, mana-mana individu yang menerbitkan terbitan yang mengandungi unsur permusuhan dan ketidakharmonian akan dikenakan bayaran denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Selain itu, karya-karya Namewee boleh memberi tanggapan negatif kepada penonton antarabangsa terhadap Malaysia atas pengaitan isu sensitiviti kaum yang sering disentuh dalam karyanya itu.


Konklusinya, keamanan dan kesejahteraan Malaysia haruslah dikekalkan dengan menghormati serta menerima adat resam, kebudayaan dan amalan kehidupan yang berbeza yang terdapat dalam setiap kaum dan etnik di Malaysia. Sekiranya isu sensitiviti kaum dan agama disentuh, keamanan Malaysia akan digugat serta berada dalam keadaan yang tidak harmoni. Perpaduan kaum memainkan peranan yang penting dalam negara yang majmuk seperti Malaysia. Kita haruslah mengambil pengajaran dari kejadian 13 Mei yang berlaku disebabkan rusuhan kaum. Setiap rakyat juga haruslah menjalankan tanggungjawab mereka dalam memelihara keamanan dan kedamaian Malaysia tanpa adanya persengketaan kaum.

380 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page