top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Pengumuman PKPP Disambut Baik Petugas Barisan Hadapan di MAEPS

Oleh: Fauzan Ismail

Penyunting: Auzaee Athallah


Gambar: Google


Putrajaya 10 Jun: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diganti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020.


Pengumuman itu dibuat menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung pada Ahad petang, 8 Jun lalu.


“Dalam PKPP, lebih banyak kelonggaran diberikan untuk menjalani kehidupan seharian

“Bermula 10 Jun, perjalanan rentas negeri dibenarkan kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” kata Muhyiddin.


Pengumuman tersebut disambut baik oleh seluruh rakyat Malaysia. Di media sosial, pengguna turut melahirkan rasa gembira dengan berbagai cara.


Walau bagaimanapun, bagi petugas barisan hadapan yang ditugaskan untuk memantau dan mengawal pesakit positif Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), masih meneruskan rutin harian mereka disitu dalam mengawal dan memantau pesakit yang terdiri dari Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang positif Covid-19.


Nadi Bangi telah menghubungi petugas barisan hadapan, Puan Ermieza Zaini yang berada di MAEPS, apabila ditanya mengenai pengumuman tersebut, beliau menyambut baik dan bersyukur kerana ianya menandakan ancaman Covid-19 sudah hampir tamat. Bagi diri beliau dan rakan petugas di MAEPS, mereka masih perlu bertugas seperti biasa dan belum masanya lagi untuk berbulan madu kerana Covid-19 masih positif di MAEPS.


“Walaupun PKPP telah diumumkan, masyarakat di luar sana diharap jangan terlalu bebas meraikan kelonggaran ini sehingga lupa penjarakan sosial yang masih perlu diamalkan dan berharap gaya hidup norma baru diteruskan supaya dapat memutuskan terus rangkaian jangkitan Covid-19 ini,” ujar beliau yang bertugas sebagai pegawai imigresen tinggi disitu.

Menurut beliau lagi, mereka yang bertugas di MAEPS sentiasa menjaga diri dan berhati-hati dalam mengawal Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) agar tidak dijangkiti. Hubungan mereka sesama rakan setugas juga perlu dijaga. Sebaik sahaja pulang dari kerja mereka perlu membersihkan diri sebelum meluangkan masa bersama keluarga.


Rakan beliau yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Redzuan turut bersetuju dengan pandangannya turut menambah, mereka bimbang sekiranya penjarakan sosial tidak dijaga, tidak mustahil Covid-19 akan kembali merebak. Beliau yang turut gembira dengan pengumuman PKPP ini juga turut merancang untuk membawa keluarga pulang ke kampung.

MAEPS mula menjadi Pusat Kuarantin Khusus untuk PATI apabila ramai PATI dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang didapati telah positif Covid-19.

10 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page