top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

RAKYAT MASIH DEGIL DALAM MEMATUHI PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP)

Wartawan: M. Nuraiman

Penyunting: Syukri Mazli

Sumber : Bernama

Kebanyakan rakyat Malaysia masih degil dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diisytihar oleh pihak kerajaan Malaysia yang bermula sejak 18 Mac yang lalu mendatangkan pelbagai masalah kepada pihak penguatkuasa undang-undang sehingga mengakibatkan Tentera Diraja Malaysia dikerah dalam membantu operasi ini. Hal ini menambah kebimbangan oleh kerana kadar peningkatan kes positif Covid-19 di negara ini semakin meningkat. Hasil daripada sikap segelintir rakyat Malaysia yang degil dan tidak memberi kerjasama ini telah mengakibatkan pihak tentera terpaksa campur tangan dalam menangani isu ini. Mengambil kira juga pihak-pihak frontliners yang lain seperti staf-staf dalam bidang kesihatan, penjaga kebersihan, dan ramai lagi, rakyat Malaysia harus sedar bahawa tindakan mereka akan mengeruhkan lagi keadaan jika ianya terjadi secara berterusan.

Jika kita lihat pada jumlah anggota barisan hadapan ini, ribuan anggota daripada pelbagai jabatan telah dikerahkan dalam menangani wabak Covid-19 ini daripada merebak samada secara langsung atau tidak langsung. Namun begitu, jutaan rakyat Malaysia masih lagi ingkar dalam mematuhi arahan PKP ini. Sekatan jalan raya telah dilakukan namun keadaan di atas jalan raya ada kalanya masih lagi sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan yang ingin bergerak ke sesuatu destinasi yang lain. Hal ini telah menyebabkan beberapa anggota Polis telah disahkan positif virus tersebut. Seramai enam anggota Polis telah disahkan positif dan 40 anggota Polis di Terengganu telah dikuarantin sejak 21 Mac yang lalu.

Justeru, adakah kita sebagai rakyat Malaysia masih hendak berdegil dan melanggar arahan PKP ini? Adakah kita masih perlu mengambil hal ini sebagai hal yang remeh? Bagaimanakah caranya untuk kita sebagai rakyat Malaysia membantu dalam menangani masalah kedegilan segelintir rakyat Malaysia ini? Apakah peranan pihak media dalam membantu menyelesaikan masalah ini?


Seharusnya kerajaan perlu mengambil langkah yang lebih radikal bagi mengawal kelakuan segelintir rakyat yang masih berdegil yang ingin keluar dari rumah sewaktu tempoh kawalan pergerakan. Jika kita lihat isu Balai Polis diserbu oleh orang ramai bagi mengambil borang untuk pulang ke kampung pada awal tempoh PKP ini, seharusnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih tegas dan tidak menawarkan apa jua kelonggaran bagi rakyat Malaysia untuk kesana sini. Selain itu, kita sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab harus sedar bahawa virus Covid-19 ini adalah virus yang sangat berbahaya dan mudah tersebar.


Seharusnya kita mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan kerajaan dalam mengekang dan mengawal penyebaran virus ini melalui PKP ini. Hal ini demikian kerana jika tiada sebarang pergerakan dan interaksi yang tidak perlu dalam negara ini, maka lebih cepat virus ini terhenti akan pergerakannya. Hal ini sepatutnya tidak dipandang remeh oleh rakyat Malaysia. Kita harus sedar bahawa semakin kita ingkar akan arahan ini, semakin lama tempoh PKP ini akan berterusan dan akan mengekang kesemua daripada kita dalam menjalani kehidupan seharian yang normal. Selain itu, pihak media juga seharusnya menggiatkan lagi usaha dalam menyedarkan rakyat Malaysia akan bahayanya virus ini dan menggalakkan lagi rakyat Malaysia untuk kekal di rumah. Rancangan televisyen dan radio juga perlu ditambah baik mutunya bagi memastikan rakyat Malaysia ‘ melekat’ di rumah masing-masing.

Sebagai penutup, kita seharusnya bersama-sama berusaha dalam menasihati antara satu sama lain jika ada diantara kita yang masih berdegil ingin keluar rumah dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Semakin ramai rakyat duduk di rumah sekarang, semakin cepat kita dapat keluar daripada rumah nanti.

34 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page